Tempatan

Sanggup Hapus Anak Ayam Demi Keuntungan, NAFAS Sedia Urus Bekalan Ayam

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 24 Mei 2022 – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sedia membantu menguruskan isu bekalan ayam di Malaysia yang ketika ini dikendali oleh kartel syarikat-syarikat swasta yang hanya mementingkan keuntungan sehingga sanggup membunuh anak-anak ayam.

Tindakan itu dipercayai bertujuan untuk ‘memboikot’ pihak kerajaan yang lambat membayar subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob memaklumkan bahawa negara akan terus berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan ayam sekiranya isu monopoli ini tidak ditangani.

“Siapa yang sorok ayam, siapa yang hapuskan ayam. Semua mereka buat, ini dilakukan kerana mereka hendak cari untung lebih.”

“Jadi, sudah sampai masanya kerajaan hapuskan kartel, tamatkan penguasaan syarikat-syarikat swasta dan kita hasilkan sendiri dengan menyerahkan tanggungjawab itu kepada NAFAS,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Datuk Zamri memohon agar pihak Kerajaan dapat memberikan peruntukan besar kepada NAFAS untuk menguruskan isu pengeluaran ayam negara sekaligus menangani masalah bekalan ayam yang kerap berlaku.

Ujarnya, NAFAS mempunyai rangkaian 227 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara dan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dengan satu juta keahlian. Mereka juga memiliki kilang memproses ayam, kilang memproses makanan ayam dan juga kilang menghasilkan baka dan benih ayam.

Tambah beliau, NAFAS telah banyak membantu Kerajaan terutamanya dari segi pengeluaran baja. Justeru itu, beliau berharap pimpinan negara di bawah Dato’ Sri Ismail Sabri memandang isu ini secara serius.

Datuk Zamri turut menegaskan agar penguasaan kartel dan syarikat swasta yang mementingkan keuntungan dapat dihapuskan sekaligus menjamin bekalan ayam negara pada masa depan.

Baru-baru ini, sekumpulan kartel ternakan ayam dipercayai merancang menutup ladang ternakan sebagai protes terhadap Kerajaan kerana lambat melakukan pembayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Leave a Reply

Back to top button