Samun & Rompak Klinik Gigi, Polis Buru 2 Lelaki
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KAJANG, 08 November 2022 – Polis Daerah Kajang sedang memburu dua lelaki tempatan yang terlibat dalam kejadian samun dan rompak di sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra, Bangi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Bin Hassan, semalam, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima laporan polis berkenaan satu kejadian samun yang berlaku di sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi di mana video kejadian telah tular di media sosial yang menunjukkan suspek (2) lelaki dipercayai bangsa Melayu memakai topi keledar bersenjatakan parang telah masuk dan merompak staf dan pelanggan di dalam klinik tersebut.
Dalam kejadian itu, suspek telah melarikan sebuah Macbook, (2) telefon bimbit, wang tunai lebih kurang RM2.000 dan seutas rantai emas.
Walau bagaimanapun, dalam kejadian ini, kesemua mangsa yang berada di dalam premis tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru supaya orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd Raziman Bin Rasid di talian 019-4565502 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.