Antarabangsa

Samsung Turunkan Iklan Ibu Bertudung, Anak Mak Nyah Setelah Diselar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SINGAPURA, 23 Januari 2022 – Syarikat teknologi gergasi, Samsung telah menurunkan iklan Smart Watch yang memaparkan seorang ibu bertudung berserta anak ‘drag queen’ atau ‘mak nyah’ setelah mendapat kritikan hebat.

Video tersebut memaparkan luahan hati ‘mak nyah’ tersebut kepada ibunya di mana si anak berterima kasih kepada ibunya kerana sanggup ke kelab bagi menonton dan menyokong persembahan si anak.

“Saya masih ingat hari ibu datang memberikan sokongan kepada saya di kelab. Walaupun sesetengah orang memandang serong terhadap perempuan berhijab di dalam kelab, ibu tak kisah sebab ibu datang untuk tengok saya buat persembahan,” ujar anak tersebut kepada ibunya.

Hal ini mendapat kritikan daripada pengguna internet. Portal berita BBC melaporkan bahawa salah seorang pengguna laman Facebook menyifatkannya sebagai sesuatu yang merosakkan keharmonian dalam kalangan Melayu-Muslim di Singapura.

“Ia menggugat keharmonian dalam kalangan komuniti Melayu-Muslim,” ujar pengguna dengan nama Syed Dan tersebut.

“Kami menentang ideologi untuk arus-perdanakan kegiatan homoseksual dan transgenderisme dalam sesebuah masyarakat konservatif,” tambah beliau lagi.

Video tersebut berakhir dengan paparan ‘mak nyah’ tersebut yang menggelarkan dirinya sebagai “Boy” melangkah masuk ke bilik rakaman si ibu lalu memeluk ibunya.

Leave a Reply

Back to top button