Tempatan

Sampai Masanya JAKIM Perlu Diberi Taring Yang Tajam Biar Jelas Punca Kuasanya – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2022 – “Mungkin sudah sampai masanya penstrukturan semula JAKIM dibuat dengan meletakkannya terus di bawah Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM), di samping diberi taring yang tajam bagi melaksanakan mana-mana perundangan Islam agar lebih berkesan dan berpunca kuasa,” ujar Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurutnya, hal Ini bagi memberi kesan kepada tindakan lebih efektif sebagai pemantau pelaksana dalam isu berkaitan agama Islam.

Jelasnya, pelbagai tohmahan terhadap JAKIM perlu dijelaskan dengan baik seperti peruntukan besar yang dikatakan sebagai pembaziran dan sebagainya.

Namun, sebenarnya setiap peruntukan yang diterima digunakan dengan teliti termasuklah membayar gaji dan emolumen imam, pegawai masjid dan guru-guru agama di seluruh negara.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berkata, penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah selaras menurut Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu dipersoalkan punca kuasanya lagi.

Sejarah penubuhan JAKIM bermula dengan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) (1968) oleh Majlis Raja-Raja dan menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) (1974) di Jabatan Perdana Menteri.

Jabatan agama ini dinaiktaraf menjadi JAKIM pada 1 Januari 1997 bagi menjadi platform dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam.

JAKIM sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan serta urusetia kepada MKI.

Maka, JAKIM melaksanakan tiga fungsi utama termasuk Penggubalan dan Penyeragaman Undang-Undang Syarak, Penyelarasan Pentadbiran Islam serta Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam.

JAKIM, berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah dengan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan.

Ia berbeza dengan jabatan lain seperti Jabatan Agama Islam dan agensi kerajaan lain.

JAKIM tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasa mana-mana perundangan termasuklah hal ehwal Islam kerana ia dimiliki Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Oleh yang demikian menuding jari kepada JAKIM sepenuhnya dalam isu-isu perundangan Islam adalah tidak tepat.

Agensi-agensi yang tidak berjenama agama seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa serta banyak agensi lain juga berperanan dalam isu mengenai agama Islam ini.

Namun, tidak bermakna jika sesuatu agensi itu tidak berjenama agama mereka tidak bertanggungjawab dalam hal ehwal mengenai agama Islam.

Jika kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta baginda bersumpah menggunakan nama-nama Allah SWT antara lainnya memelihara agama Islam pada setiap masa sebagaimana dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, setiap agensi kerajaan Persekutuan sama ada berjenama Islam ataupun tidak juga mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk melaksanakan sumpah Yang di-Pertuan Agong tersebut.

Jangan hanya mencari salah JAKIM sahaja tanpa memberi ruang kepada mereka melaksanakan tugas mereka.

JAKIM dan agensi lain perlu bersama-sama mencari jalan untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

“Kita seharusnya mencari solusi bukan menuding jari mencari kesalahan,”jelasnya.

Ditanya di manakah Perlembagaan Persekutuan memberi punca kuasa kepada Pusat untuk mentadbir isu-isu Islam di Pusat, Datuk Zainul Rijal berkata,

“JAKIM tiada kuasa pun. JAKIM hanya jadi badan penyelaras sahaja. Siasatan pendakwaan pendidikan semua negeri buat sendiri. Tugas Persekutuan adalah menyelaras antara federal dan negeri, serta penyelarasan antara negeri.”

Tambah beliau, Penyelarasan di bawah Perkara 7(1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara dalam Senarai Negeri bagi maksud mengadakan persamaan undang-undang di antara dua buah negeri atau lebih.

Bagaimanapun, undang-undang sedemikian tidak boleh berkuatkuasa di negeri-negeri sehingga undang-undang itu diterima pakai dengan suatu undang-undang itu dibuat oleh Badan Perundangan Negeri.

Undang-undang itu juga hendaklah disifatkan sebagai Undang-Undang Negeri dan boleh dipinda atau dimansuhkan oleh Negeri-Negeri berkenaan.

Jelasnya lagi, mekanisma ini hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan bagi maksud Penyelarasan Undang-Undang Islam jika mendapat kerjasama dan persetujuan daripada negeri-negeri untuk menerima pakai undang-undang tersebut tanpa apa-apa pindaan dan ubahsuaian.

Mengikut pengalaman, negeri-negeri mengambil masa yang panjang untuk memberi persetujuan. Dalam hal sedemikian pada masa ini belum ada lagi undang-undang Islam yang telah diselaras dan diseragamkan mengikut mekanisma ini.

Barangkali salah satu mekanisma yang boleh mempercepatkan persetujuan Kerajaan Negeri ialah melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Antara tugas MKI ialah untuk memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja.

Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atas apa-apa perkara yang berhubungan dengan perundangan atau pentadbiran agama Islam dengan tujuan untuk memperbaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran (Peraturan 7(b) Peraturan Majlis Kebangasaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI).

Menurut Peraturan 9 Peraturan MKI pula, apabila sesuatu pengesyoran dibuat oleh MKI kepada Majlis Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja bersetuju dengan pengesyoran itu, maka pihak Berkuasa Agama Islam Negeri hendaklah melaksanakan pengesyoran itu dan tidak boleh meminda atau mengubahnya tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Mekanisma penyelarasan dan penyeragaman tersebut di atas boleh dilaksanakan dengan berkesan sepertimana berikut iaitu dengan:-

Menubuhkan suatu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Islam yang dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri;

Draf rang undang-undang yang telah digubal oleh Jawatankuasa tersebut dan telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara akan diangkat kepada MKI untuk kelulusan;

Bagi memastikan negeri-negeri akan menerima pakai draf rang Undang-Undang berkenaan, draf yang telah diluluskan oleh MKI tersebut akan dipersembahkan ke Majlis Raja-Raja untuk persetujuan dan apabila dipersetujui akan mengikat negeri-negeri untuk menerima pakai undang-undang tersebut.

Walau bagaimana tampaknya terdapat Kerajaan Negeri-Negeri yang tidak menerima pakai undang-undang yang telah dipersetujui melalui mekanisme di atas dan telah membuat pindaan dan ubahsuaian tertentu yang menyebabkan wujudnya ketidakselarasan dan ketidakseragaman undang-undang Islam antara negeri-negeri.

Leave a Reply

Back to top button