Sambut Sabaath Mahkamah Yahudi Tangguh Pendengaran Kes 3 Warga Palestin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BAITULMUQADDIS, 20 Oktober 2022 – Sebuah mahkamah di sini telah membuat keputusan melanjutkan tahanan tiga warga Palestin dari kejiranan Sheikh Jarrah tanpa sebarang rayuan sewaktu sesi pendengaran, hanya kerana ketiga-tiga mereka itu dibawa ke pengadilan dua jam sebelum bermulanya perayaan Shabbat.
Hakim Mika Banki melanjutkan penahanan ketiga-tiga individu tersebut yang mana kesemua mereka itu ditahan pada Khamis malam.
Penahanan mereka itu adalah atas dasar pihak berkuasa mengesyaki bahawa ketiga-tiga mereka terlibat dalam kejadian rusuhan dan baling batu.
Lanjutan penahanan tersebut disifatkan sebagai satu perbuatan yang zalim kerana ianya telah diputuskan tanpa sebarang sesi pendengaran daripada para peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka. Selain itu, alternatif selain penahanan juga langsung tidak diperiksa.
Menurut pihak polis, ketiga-tiga mereka adalah di antara 18 suspek yang ditangkap ketika beberapa kejadian rusuhan yang berlaku di antara warga Palestin dan Yahudi di kawasan kejiranan yang terletak di Timur Palestin itu.
Pada Jumaat lalu, hanya seorang pegawai polis yang bertindak selaku pendakwa raya hadir di mahkamah dan keputusan untuk melanjutkan penahanan terus dilakukan.
Peguam yang mewakili suspek, Nasser Odeh memaklumkan bahawa beliau telah diberitahu yang pihak polis masih belum menjalankan siasatan awal seperti memeriksa video-video yang dirakam menerusi kamera keselamatan di kawasan tersebut.