Salman Rushdie, Disahkan Buta Sebelah Mata, Lumpuh Sebelah Tangan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LONDON, 25 Oktober 2022 – Salman Rushdie, penulis yang dilabel murtad dan pernah menggemparkan dunia Islam dan Muslim sedunia dengan bukunya ‘The Satanic Verses’ telah disahkan buta sebelah mata dan lumpuh sebelah tangan susulan insiden tikaman yang berlaku di Institut Chautauqua pada Ogos lalu.
Insiden yang berlaku di New York itu mengakibatkan kecederaan yang dialami Salman sangat parah dengan 15 luka di bahagian dada, menurut ejen bukunya, Andrew Wylie dalam satu laporan media.
“Salman buta sebelah mata, kecederaan parah di bahagian leher dan sebelah tangannya juga tidak lagi berfungsi seperti biasa.”
“Saya juga tidak boleh dedahkan sama ada Salman masih dirawat di hospital atau tidak demi keselamatannya,” jelas Andrew.
Samudera.my sebelum ini melaporkan keadaan penulis yang mengaku atheis tegar itu ditikam di bahagian leher dan pinggang sehinggakan terpaksa diterbangkan ke hospital dengan kadar segera.
Kejadian tersebut mendapat kecaman tokoh-tokoh dunia Barat yang rata-rata terkejut dengan perkembangan terkini novelis kelahiran Mumbai, India itu yang sudah puluhan tahun hidup dibayangi fatwa hukuman mati akibat penerbitan buku “The Satanic Verses” yang dilabel menghujat dan menghina Islam sehinggakan hampir 10 tahun beliau hidup dalam persembunyian.