Tempatan

Salah Laku Polis: Penggunaan Kamera Badan Berkuatkuasa Oktober Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Februari 2024 – Penggunaan kamera badan (BWC) diwajibkan ke atas pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan bermula Oktober ini bagi mengesan mereka yang disyaki terlibat dengan salah laku dan masalah integriti.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka yang gagal mematuhi arahan pemakaian BWC terutama Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Motosikal (URB) dianggap melakukan kesalahan tatatertib.

“Bagi memastikan arahan pemakaian dan penggunaan BWC dilaksanakan sepenuhnya, prosedur operasi standard (SOP) penggunaannya sudah disiapkan dan sedang dikemas kini.”

Jelasnya, BWC mampu merekodkan pergerakan di lokasi serta tidak mempunyai fungsi untuk menghapus segala rakaman.

“Setiap pengguna (pegawai, anggota yang memakai BWC) akan dibekalkan ID khas semasa penugasan.”

“BWC ini mampu merakam video dan audio sehingga lapan jam penugasan serta akan dijadikan rakaman bukti percakapan dan perbuatan pesalah (individu yang diperiksa).”

PDRM dijangka akan menerima 7,648 unit BWC secara berperingkat mulai September ini hingga Februari 2025 dan akan ditempatkan di 157 ibu pejabat polis daerah (IPD) serta 640 balai polis di seluruh kontinjen.

Terdahulu, tular sebuah rakaman menunjukkan anggota polis trafik meminta wang daripada pelancong pasangan warga United Kingdom yang juga pempengaruh media sosial, bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.

Pasangan pelancong yang menaiki sebuah van itu telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Dalam video itu, anggota polis trafik dilihat memberitahu pasangan terbabit bahawa mereka memandu sekitar 80 kilometer (km) sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 km.

Susulan itu, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang berjumlah RM100 tanpa diberikan surat saman.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: