Saintis Cipta Gula-Gula Getah Perangkap COVID-19
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PENNSYLVANIA, 31 Julai 2022 – Sekumpulan saintis berjaya menghasilkan gula-gula getah yang dipercayai boleh ‘memerangkap’ virus COVID-19 dalam air liur.
Gula-gula tersebut dibangunkan oleh pasukan penyelidik yang diketuai Dr. Henry Daniell dengan bantuan saintis di Sekolah Perubatan Perelman dan Sekolah Perubatan Veterinar Penn.
Lapor sebuah agensi berita, gula-gula getah itu mengandungi protein tumbuhan yang boleh memerangkap virus SARS-COV-2 di dalam air liur serta melambatkan penyebaran virus terbabit, bukan sahaja daripada individu ke individu, tetapi juga dari sel ke sel pesakit.
Kebiasaannya protein tersebut ditemukan dalam COVID-19 untuk memasuki sel ketika menjangkiti seseorang individu. Namun, menggunakan replikasinya, gula-gula getah ini berjaya ‘mengurung’ virus itu dalam mulut individu yang mengunyah.
Pasukan penyelidik berkenaan kini bersiap sedia untuk menjalankan ujian klinikal pertama terhadap gula-gula getah tersebut. Mereka turut berharap agar rawatan alternatif ini menjadi pilihan kos rendah dan mudah digunakan untuk membanteras virus COVID-19.
“Kita menggunakan pelitup muka dan pendekatan fizikal lain untuk mengurangkan risiko penularan. Jadi, gula-gula getah ini boleh juga digunakan sebagai alat tambahan dalam usaha melawan COVID-19,” ujar Dr. Henry.
Setelah eksperimen tabung uji dilaksanakan menggunakan air liur individu yang dijangkiti varian Delta atau Omicron, zarah virus dikatakan melekat sendiri pada reseptor ACE2 dalam gula-gula getah sehingga ia jatuh ke tahap yang tidak dapat dikesan.