Tempatan

Saf Solat Dan ‘Saf’ Bola: Tolong Hentikan Sandiwara Ini! – PPIM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Perlawanan bola sepak antara pasukan JDT dengan pasukan KL City telah membuatkan pengguna dan rakyat tertanya-tanya apakah sudah ada kelonggaran Prosedur Operasi Standard(SOP) ketika kita masih bergelut dengan wabak COVID-19?

Sering kita menyaksikan satu sandiwara SOP di lapangan-lapangan terbang di mana sebelum menaiki pesawat para penumpang dikehendaki mematuhinya tetapi duduk bersebelahan di kabin.

Begitu juga keadaannya bila beberapa kelonggaran pergerakan diumumkan kita dapat melihat akan pelanggaran SOP di pasaraya-pasaraya, pasar-pasar malam dan lain-lain tempat tumpuan orang ramai.

Namun, keadaan tidak pula di masjid-masjid kerana pihak jawatankuasanya bertegas menguatkuasakan SOP dan masih selesa dengan saf-saf yang berjarak 1-1.5 meter antara jemaah.

Jelas kini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) seolah-olah sedang mempersendakan SOP yang telah ditetapkan dalam menentukan jarak ‘saf’ bola dan saf untuk solat. Ia umpama virus ini hanya akan berkunjung ke masjid-masjid dan surau-surau dan tidak berminat untuk menghadirkan diri di tempat-tempat awam lain.

Kami menggesa agar pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara mengkaji semula penguatkuasaan SOP di semua premis, dalam apa jua keadaan agar ia tidak kelihatan seperti sebuah jenaka.

Rakyat kini kian bosan dengan keadaan ini dan pihak kerajaan seolah-olah tidak begitu teliti dan peka terhadap perbezaan dari sudut layanan terhadap beberapa keadaan, terutama yang melibatkan aktiviti yang boleh merangsang ekonomi.

Masjid dan tempat ibadat mungkin disifatkan sebagai tempat yang tidak memberikan apa-apa manfaat ekonomi maka SOPnya perlu ketat kerana ramai atau sedikitnya jemaah tidak memberikan kesan yang ketara.

Jikalau inilah sikap kerajaan maka ia adalah amat menyedihkan dan boleh dianggap bahawa pihak berkuasa terus memperkecilkan institusi kerohanian sebagai satu sumber penyelesaian yang paling ampuh untuk wabak ini dan lakonan sandiwara COVID-19 ini perlu dihentikan segera!

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button