RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori Diluluskan
KUALA LUMPUR, 04 April 2023 – Rang Undang-Undang (RUU) pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut laporan berita tempatan, ia diluluskan dengan persetujuan daripada lebih suara selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh.
Ia adalah melibatkan pindaan undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori kepada kesalahan berkaitan beberapa akta.
Antara akta tersebut ialah Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.
BACA JUGA: Isu Laut China Selatan: Malaysia Bersedia Runding Dengan China – PM
BACA JUGA: Harga Minyak Melonjak Naik
BACA JUGA: SPA Sekat Lebih 46 Ribu Identiti Palsu Mohon Kerja Awam
Pindaan tersebut meletakkan bahawa tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori sebaliknya, dihadirkan dengan alternatif baharu iaitu hukuman pemenjaraan yang tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Ramkarpal yang sebelumnya membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kedua dan ketiga berkata, menerusi budi bicara yang diberikan kepada pihak mahkamah dalam menjatuhkan hukuman mati, mahkamah boleh mengambil kira prinsip undang-undang yang terpakai dalam memutuskan keperluan hukuman mati dikenakan.
Kata beliau, keputusan Kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori merupakan satu langkah yang tepat dalam mewujudkan sistem perundangan yng dinamik, progresif serta relevan dengan keperluan semasa.
“Bagaimanapun, hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah dan tidak mengakibatkan ketidaksesuaian dengan hukuman lain yang kurang serius,” jelasnya.
Sebelum ini, samudera.my melaporkan bahawa kebanyakan pihak keluarga kepada mangsa jenayah merayu agar pihak Kerajaan mengekalkan hukuman mati mandatori melibatkan jenayah kejam.
Menurut peguam, Christina Teng, Kerajaan seharusnya mendahulukan kepentingan mangsa serta keluarga sebelum memikirkan tentang si pelaku.