Tempatan

RUU Mufti Wajar Disokong Seluruh Umat Islam Sepenuhnya – Mufti Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 05 Julai 2024 – “Rang Undang- Undang (RUU) Mufti WP terutama pada perkara 4 yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut aqidah bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, fiqh Mazhab syafie dengan meraikan 3 Mazhab lain, dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid, mesti diberi sokongan sepenuhnya oleh semua umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.”

Demikian kenyataan yang dikeluarkan Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berhubung RUU tersebut.

Beliau menegaskan bahawa RUU itu sangat relevan dan penting di atas semangat persekutuan yang memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai institusi yang menaungi Agama Islam di Malaysia.

Ujar beliau, “Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai salah satu agensi agama persekutuan, pemimpinnya iaitu Muftinya mestilah mengikuti dan menghayati semangat persekutuan yang telah utuh sekian lama sejak penubuhan negara Malaysia ini bahawa Majlis Raja-Raja merupakan penaung kepada Institusi Agama Negara dengan menyokong sebulat suara RUU Mufti WP ini.”

Tambah Asmadi, RUU ini relevan kerana, “Sebagai sebuah aliran zaman berzaman di Malaysia dan paling terbuka dan fleksibel dengan warisan, adat istiadat dan amalan majoriti umat Islam di negara ini baik dari kalangan rakyat marhain atau bangsawan yang menjadi identiti dan keunikan umat Islam. Banyak amalan tradisi Raja-Raja Melayu seperti bacaan yasin, tahlil dibenarkan kerana kesederhanaan aliran ini.”

Beliau juga menekankan bahawa aliran ini tidak jumud dan amat terbuka, malah tidak bersikap mengkafir atau menyesatkan secara senyap-senyap. Tiada taqiyyah.

Mufti Pahang itu turut mengulas bahawa aliran ini tidak terlibat langsung dengan usul ekstremisme dan mampu mengekang fahaman radikal dalam negara.

“Sekaligus dapat menangkis ekstremisme seumpama kes di Ulu Tiram, Johor yang sanggup membunuh sesama Muslim. Mereka juga “menculik” terma Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada mereka! Kena elakkan penculikan ini!”

Mengakhiri kenyataan sama, beliau menegaskan tanpa keraguan, “RUU Mufti WP ini sangat penting bagi memelihara semangat sebuah persekutuan, memartabatkan Institusi Raja-Raja, memelihara warisan dan adat istiadat negara serta mengekang elemen radikalisme dalam Negara ini.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: