Rusuhan Stadium Malang, Polis dan Tentera Bakal Dihukum
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
INDONESIA, 04 Oktober 2022 – Polis dan tentera yang terlibat akan berdepan dengan hukuman setimpal berikutan berlakunya kematian dalam rusuhan di Stadium Malang baru-baru ini.
Panglima Tentera Jenderal Andika Perkasa berkata, tentera Nasional Indonesia menjamin akan mendakwa anggotanya yang melakukan kekerasan semasa menyuraikan rusuhan tersebut.
“Tindakan (anggota) dalam video yang tular kelmarin bukan dalam konteks mempertahankan diri. Ia perbuatan jenayah kerana orang awam mungkin tidak akan sesekali mahu berhadapan dengan tentera.”
Katanya, anggota bakal berdepan dengan hukuman jenayah dan bukan hukuman etika tatatertib jika didapati bersalah.
Bagi membantu siasatan, orang ramai diminta untuk menghantar video tindakan anggota tentera yang melakukan kekerasan melampau semasa kejadian kepada pihak tentera.
Dalam video yang tular di media sosial, anggota tentera yang turut serta menjaga keselamatan di stadium bertindak kasar dengan menendang penyokong bola sepak hingga terjatuh.
Sementara itu, Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sedang menyiasat lebih sembilan pegawai kerana didapati bertanggungjawab melepaskan gas pemedih mata di dalam stadium.
“Buat masa ini mereka sedang disoal siasat atau disiasat di peringkat pengurusan keselamatan di lapangan,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Negara, Inspektor Jeneral Dedi Prasetyo.
Tragedi yang mengorbankan kira-kira 127 nyawa itu bermula kerana penyokong Arema FC tidak berpuas hati atas kekalahan pasukan itu kepada pasukan Persebaya Surabaya.
Penyokong yang ‘naik minyak’ bertindak memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.
Bagaimanapun, keadaan bertambah tegang dengan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong atas padang berasak-asak untuk keluar stadium melalui satu pintu sehingga berlaku rempuhan. Tidak kurang daripada 323 turut cedera.
Akibat kejadian tersebut, pihak keselamatan berdepan tekanan kerana menggunakan gas pemedih mata di dalam kawasan tertutup yang menyalahi garis panduan stadium yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).