Rusuhan RSS-Hindutva Leicester: Penganut Hindu Bongkar Sifat Gerakan Hindutva
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 5 Oktober 2022 – Berikutan sebuah rusuhan penganut ideologi Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) di Leicester, Eddie Redzovic, pengacara The Deen Show telah menemubual seorang pengarah advokasi beragama Hindu bagi mendedahkan sikap sebenar gerakan Hindutva.
Dalam temubual tersebut, ideologi Hindutva telah dibongkarkan, dimana tetamu jemputan itu menjelaskan bagaimana ideologi Hindutva menganggap negara India hanya untuk mereka yang beragama Hindu.
“India hanyalah untuk Hindu, dan mereka yang beragama Islam dan Kristian tidak patut diberikan hak asasi,” jelas beliau.
Jelas beliau lagi, fahaman Hindutva ini juga merupakan sebuah fahaman yang dipegang oleh Narendra Modi dan jentera politiknya, Bharatiya Janata Party (BJP).
Hasil daripada menganut fahaman ekstrem tersebut, gerakan Hindutva bertindak menimbulkan kekacauan dengan melakukan rusuhan, merobohkan rumah, gerai dan masjid umat Islam, serta merosakkan kubur umat Islam.
Umat Islam di India juga dikatakan menghadapi konspirasi untuk menghalang mereka daripada diberikan kerakyatan.
Lebih menyedihkan lagi, struktur pentadbiran India didapati mengenepikan penganut agama Islam dari memegang jawatan di sana. Jawatan-jawatan penting seperti polis, hakim dan penggubal undang-undang kesemuanya didominasi penganut fahaman Hindutva.
Pegawai-pegawai atasan polis serta hakim-hakim di sana juga bersikap islamofobia – membenci, takut atau bersikap prejudis terhadap umat Islam tanpa sebab yang kukuh.
Jelas beliau lagi, bukan sahaja Perdana Menteri India terlibat dalam insden keganasan terhadap umat Islam di sana, pihak polis di sana juga tidak membantu untuk meredakan keadaan, kerana terpengaruh dengan dasar pentadbiran British.
“Polis di India dari segi sejarahnya memang menentang rakyat. Mereka ditubuhkan oleh British untuk menyekat dan menghancurkan sebarang tentangan dari rakyat,” tegas beliau.
Lebih memeranjatkan lagi, umat Islam bukanlah satu-satunya yang ditindas kumpulan pelampau ini. Mereka juga menindas sesama agama Hindu yang lahir dari golongan berkasta Dalit, sebuah kasta yang dianggap rendah dalam sistem sosial India dahulu.
Menurut beliau, terdapat peristiwa dimana lelaki Dalit telah berkahwin dengan wanita dari kasta Brahmin (kasta atasan) dan lelaki Dalit tersebut kemudiannya dibunuh.
Beliau menggesa pihak antarabangsa ‘membuka mata’ terhadap realiti sebenar ideologi Hindutva yang berbahaya ini.