Tempatan

Rusia-Ukraine: Malaysia Sokong Resolusi PBB

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 Mac 2022 – Wisma Putra memaklumkan Kerajaan Malaysia menyokong Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menerima pakai resolusi “Tindakan Keganasan Ke Atas Ukraine” baru-baru ini.

Resolusi yang disebut “Tindakan Keganasan Terhadap Ukraine” menuntut “Persekutuan Rusia segera menghentikan kekerasan terhadap Ukraine dan menghindari daripada sebarang ancaman yang menyalahi undang-undang penggunaan kekerasan terhadap mana-mana negara anggota PBB.

Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, walaupun “Malaysia tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungan resolusi itu, ia menyatakan sokongan dan membuat undian ke atas resolusi berkenaan atas prinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara amat penting kepada Malaysia.”

Tambah kenyataan itu lagi, “Menekankan hubungan kerjasama yang erat dengan kedua-dua negara, Rusia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik itu adalah kompleks berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan kedua-dua negara yang mesti ditangani melalui dialog dan cara aman.”

Dalam masa yang sama, Malaysia berpandangan supaya negara–negara terlibat perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.

Kerana itulah Malaysia menyambut baik rundingan antara Rusia dan Ukraine di Belarus dan berharap agar rundingan damai itu berjaya mencapai kata putus.

“Sebagai sebuah negara anggota PBB yang bertanggungjawab, Malaysia mengulangi komitmen berterusan terhadap penyelesaian secara damai.”

“Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa serta kemakmuran sejagat.”

Terdahulu, Datuk Seri Anifah Aman, bekas Menteri Luar Negeri menyatakan bahawa jika dilihat kepada keadan geopolitik semasa, Malaysia mungkin akan ditimpa nasib yang sama dengan Ukraine.

Justeru, beliau menggesa pucuk kepimipinan Malaysia perlu bertegas dalam isu perang di Ukraine dan tidak hanya menyuarakan pendapat yang samar.

Leave a Reply

Back to top button