Rusia, Korea Utara Jalin Kerjasama Hadapi Pencerobohan Luar
MOSCOW, 20 Jun 2024 – Presiden Rusia, Vladimir Putin telah membuat kenyataan bahawa Moscow dan Pyongyang telah berikrar untuk membantu satu sama lain dalam menghadapi pencerobohan luar.
Perkara tersebut dizahirkan pada Rabu lalu sewaktu beliau dalam sesi lawatan ke Democratic People’s Republic of Korea.
Putin dan rakan sejawatnya, Kim Jong-un telah menandatangani kerjasama strategik yang akan menjadi perintis bagi kerjasama di dalam segala sudut pada masa akan datang termasuklah hubungan kebudayaan dan pelancongan serta ekonomi dan keselamatan.
Ujar Putin lagi, “Dokumen kerjasama menyeluruh yang telah kami tandatangani pada hari ini telah memberikan peluang, antara lain, bagi bantuan bersama sekiranya terdapat pencerobohan terhadap salah satu daripada dua pihak yang bekerjasama itu.”
Putin turut menegaskan bahawa Moscow menyokong niat Pyongyang untuk melindungi keselamatan serta kedaulatannya daripada kemungkinan pencerobohan Barat.
Putin turut menyatakan bahawa negara-negara Barat telah menyediakan senjata kepada Ukraine dan telah memberi kebenaran terhadap Kiev untuk menyerang Rusia.
Berikutan keadaan tersebut, “Rusia tidak menolak tindakan pembangunan kerjasama ketenteraan dengan Korea Utara di bawah dokumen yang ditandatangani pada hari ini”.