Rusia Bunuh Rakyat Kami, Kerajaan Israel Pula Goyang Kaki – Presiden Ukraine
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PARIS, 28 September 2022 – Israel tidak memberi sebarang bantuan kepada Ukraine untuk mempertahankan diri daripada serangan Rusia, ujar Vlodomyr Zelenskyy, Presiden Ukraine dalam sebuah temu bual pada Jumaat lalu, lapor media rejim haram.
Walaupun Israel telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Ukraine, negara haram itu telah berulang kali menolak permintaan Kyiv untuk senjata pertahanan, khususnya sistem pertahanan peluru berpandu yang dipercayai boleh menangkis serangan udara Rusia.
Mereka menolak dengan alasan bahawa Israel memerlukan bateri tersebut untuk perlindungannya sendiri, kata Zelenskyy selepas bercakap dengan Perdana Menteri Israel Yair Lapid dan juga bekas PM Naftali Bennett.
“Saya faham mereka perlu mempertahankan tanah mereka, tetapi kemudian saya mendapat maklumat daripada perkhidmatan perisikan saya bahawa Israel menyediakan pertahanan udara di negara lain. Mereka boleh menjual, mereka boleh mengeksport, sebab itu saya terkejut,” jelasnya.
Dalam pada itu, sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari lalu, Zelenskyy beserta pegawai Ukraine yang lain telah mendesak Israel secara konsisten mengenai isu tersebut.
Duta Ukraine ke Israel, Yevgen Korniychuk juga pernah mengatakan, “Ketika Rusia menyembelih rakyat kita, kerajaan Israel kekal dalam zon selesanya dan mengelak daripada memberikan bantuan pertahanan minimum kepada Ukraine.”
Penolakan tersebut dilihat sebagai satu percubaan Israel untuk mengekalkan hubungan kerjasama dengan Moscow kerana kawalan Rusia ke atas ruang udara Syria, di mana tentera Israel telah melakukan ratusan serangan terhadap penghantaran senjata Iran.
Meskipun kritikan Israel terhadap pencerobohan Rusia ke atas jirannya telah menjejaskan hubungan kedua-dua negara, Rusia sebahagian besarnya menutup mata terhadap serangan udara Israel.