Rumah Agam Berusia 1,200 Tahun Ditemui Di Palestin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PALESTIN, 24 Ogos 2022 – Pakar arkeologi mengumumkan penemuan sebuah rumah agam dipercayai berusia 1,200 tahun di padang pasir Negev yang terletak di selatan Palestin, Selasa lalu.
Dalam penemuan itu, Pihak Berkuasa Kepurbaan Rejim Haram Aparteid Israel (IAA) berkata hartanah yang luas itu berkemungkinan kediaman seorang pemilik tanah yang kaya yang menyelia ladang di kawasan itu. Ia ditemui sewaktu penggalian dijalankan untuk membesarkan lagi bandar Badwi di Rahat, utara Beersheba.
Rumah agam itu juga ditemukan di antara dua masjid purba di Rahat, kata pengarah penggalian itu, Eli Eskosido.
Menurut pakar arkeologi, rumah agam itu wujud sejak zaman awal tamadun Islam pada abad ke-8 atau ke-9 Masihi.
Katanya, rumah agam yang terletak di bawah tanah itu mempunyai empat ruang yang didirikan di sekeliling ruang utama dalam rumah berkenaan dan membolehkan pemiliknya terlindung dari kepanasan cahaya matahari.
Dinding dan lantai di salah satu ruang rumah itu juga dihiasi dengan lukisan halus serta terdapat ketuhar besar di salah satu bilik dipercayai digunakan untuk memasak.
Pakar-pakar arkeologi yang mengarahkan penggalian itu, Oren Shmueli, Elena Kogan-Zehavi dan Noe D. Michael berkata, terdapat struktur berkubah di bawah tanah dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan makanan dan membolehkan penduduk bergerak bebas tanpa terkena kepanasan pancaran matahari.
IAA dan Pihak Berkuasa Pembangunan dan Penempatan Badwi bagaimanapun bercadang untuk memulihara dan mempamerkan penemuan itu kepada masyarakat umum. Kata mereka, tapak itu akan dibuka kepada orang ramai untuk lawatan awam secara percuma.
Dua tahun lalu, pakar kaji purba Rejim Israel turut menemukan sebuah masjid purba dipercayai dari kurun ke-7 dan ke-8 di bandar yang sama. Ia ditemui sewaktu persiapan untuk pembinaan sebuah bangunan baharu di kawasan berkenaan.
Menurut pengarah kerja-kerja penggalian waktu itu, Jon Seligman, masjid tersebut berkemungkinan digunakan oleh para petani yang tinggal di kawasan itu.
Pada tahun 1918 iaitu selepas Perang Dunia Pertama, Baitulmuqaddis dan Palestin jatuh ke tangan British yang menyebabkan berlakunya perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin. Pada tahun 1947, Jawatankuasa Khusus PBB terhadap Palestin (UNSCOP) menyarankan agar Barat Palestin dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sebuah negara Yahudi, sebuah negara Arab dan sebuah negara yang diperintah oleh PBB di sekitar Baitulmuqaddis.
Rakyat Palestin bagaimanapun menentang pemisahan itu namun tidak berkesan hinggalah wujudnya negara Rejim Haram Aparteid Israel itu yang merupakan hasil daripada pencerobohan ke atas tanah rakyat Palestin.