Tempatan

Rugi RM435 Setahun, Kerajaan Tanggung Kos Makanan RM50 Sehari Bagi Setiap Tahanan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 30 November 2023 – Kesesakan penjara menyebabkan Kerajaan rugi RM435 juta setahun kerana terpaksa membelanjakan RM50 sehari menanggung makan setiap tahanan.

Pengerusi Persatuan Penempatan Dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, Kerajaan perlu bertindak menyelesaikan masalah kesesakan penjara agar dapat mengurangkan perbelanjaan negara.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara sehingga 16 Oktober lalu, sebanyak 36.3 peratus atau 23,869 daripada 67,758 banduan yang ditahan di 47 buah penjara di seluruh negara adalah tahanan reman membabitkan pelbagai kes jenayah kecil-kecilan.

Tahanan tersebut turut membabitkan orang kena tuduh (OKT) yang tidak mampu membayar wang ikat jamin.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membebaskan tahanan yang masih dalam proses reman berkaitan kes-kes tuduhan jenayah kecil, jenayah tanpa kekerasan dan terutama kes penagihan dadah.”

“Terdapat tahanan reman terpaksa meringkuk di penjara sehingga dua tahun sementara menunggu perbicaraan selesai dan ia seolah menunjukan mereka telah bersalah walaupun mahkamah belum memutuskan keputusan.”

Dalam pada itu, Mohd. Shahirul berkata, badan kehakiman perlu mempertimbangkan syarat ikat jamin seperti melapor diri di balai polis berbanding mengenakan ikat jamin khususnya dalam kalangan OKT yang tidak mampu membayar ikat jamin.

Selain itu, katanya, hakim juga boleh melihat kepada keperluan bayaran ikat jamin secara ansuran sebagai langkah alternatif.

Katanya, kerajaan menerusi Jabatan Bantuan Guaman perlu memainkan peranan untuk membantu proses mitigasi OKT bagi mengurangkan jumlah jaminan atau memohon syarat ikat jamin lain sementara perbicaraan selesai.

Sehingga kini, kapasiti semua 47 penjara untuk 62,000 tahanan namun mengikut data terkini penjara, semua penjara kini sedang menampung lebih 67,000 banduan termasuk tahanan reman dengan Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh di Selangor didakwa berhadapan kesesakan terburuk apabila menempatkan 6,000 banduan, hampir dua kali ganda daripada kapasiti 3,500 orang di setiap penjara itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: