Rugi Kira-Kira RM100 Ribu Akibat Ribut Kencang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEREMBAN, 10 September 2022 – Seorang penduduk sekitar Rembau mengalami kerugian harta benda kira-kira RM50,000 hingga RM100,000 selepas bumbung rumahnya tercabut selain kerosakan barangan elektrik dan perabot akibat bencana ribut kencang.
“Saya bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian itu. Sebaik tiba di rumah, saya terkejut mendapati bumbung rumah hilang entah ke mana. Rumah rosak teruk,” ujar Anita Abdul Wahab, 59 yang merupakan seorang guru di sebuah institut memandu.
Dalam pada itu, adik beliau, Rozita Abdul Wahab, 58, berkongsi situasi yang melibatkan rumah ibu dan kakaknya dengan berkata; “Rumah kami bergegar kuat sebelum bahagian bumbung tercabut diterbangkan ribut kencang.”
“Kejadian berlaku secara tiba-tiba dan pantas. Langit yang cerah bertukar gelap disusuli hujan lebat dan ribut petir. Saya dan ahli keluarga berada di rumah emak. Namun kami nampak dengan jelas bumbung rumah kakak tercabut diterbangkan angin,” kongsi Rozita.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Mohd Izwan Md Said, berkata kejadian yang berlaku menyebabkan rumah mangsa mengalami kerosakan 80 peratus manakala rumah ibu bapanya pula hanya tercabut bumbung.
Kejadian yang melanda Kampung Tanjung Berangan Sepri pada petang Khamis itu secara keseluruhannya telah menjejaskan empat buah rumah namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.