Tempatan

Ruang Udara Malaysia Diceroboh: Malaysia Akan Hantar Nota Bantahan Diplomatik Kepada China – Hishammuddin Hussein

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 02 Jun 2021 – Kementerian Luar Negeri akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik dan memanggil Duta Besar Negeri China susulan pencerobohan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) ke dalam ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) 31 Mei lalu.

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada TUDM, Kementerian ini akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan ini kepada Kerajaan Republik Rakyat China,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tambahnya, “Kementerian ini juga akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China ini.”

Mengakhiri kenyataan, Datuk Seri Hishammuddin menegaskan, Malaysia tidak akan sesekali berkompromi tentang keselamatan negara dengan mana-mana negara.

“Pendirian Malaysia sangat jelas – mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali-kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita.”

“Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita.”

Terdahulu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam satu kenyataan memaklumkan, TUDM memintas 16 pesawat PLAAF yang dikesan menceroboh ZMM Kota Kinabalu (KK) Isnin lepas.

Pesawat berkenaan yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

Beberapa arahan supaya pesawat berkenaan menghubungi kawalan trafik udara KK tidak dipatuhi, yang menyebabkan TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

Kedutaan Besar China di Malaysia walau bagaimanapun mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia sebagai latihan penerbangan biasa dan tiada apa yang perlu dicurigakan.

Leave a Reply

Back to top button