Tempatan

Rosliza Diputus Bukan Islam, Mahkamah Adil – Hanipa Maidin

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sepang Yang Berhormat Mohamed Hanipa bin Maidin dalam merujuk kepada penghakiman kes Rosliza binti Ibrahim yang diputuskan sebagai bukan seorang Islam memberi pendapat bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan adalah adil.

Setelah membaca keseluruhan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza Ibrahim, Hanipa berpandangan bahawa penghakiman tersebut tidak tercemar oleh sebarang kesalahan perundangan, walaupun mungkin bersifat tidak populis.

“Setelah membaca keseluruhan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosliza Ibrahim, saya berpandangan penghakiman tidak tercemar oleh sebarang kesalahan perundangan,”

“Ya, ia mungkin digelar sebagai penghakiman tidak populis. Jelas, kredit kepada Mahkamah Persekutuan yang tidak mudah dipengaruhi dalam penghakimannya,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa ini adalah tugas suci mana-mana mahkamah perundangan untuk membuat keputusan bagi sebarang kes berdasarkan bukti yang dipersembahkan oleh semua pengadu-pengadu yang berkaitan dan percubaan menjadi populis tidak seharusnya menjadi pegangan mana-mana mahkamah perundangan.

“Mahkamah ditugaskan untuk memberikan keadilan sesuai dengan undang-undang, bukan untuk memberikan keputusan yang populis dengan mengabaikan keadilan tersebut,” tegas beliau.

Sambil menerangkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan adalah adil pada pandangan beliau, Hanipa juga menerangkan tentang perbezaan antara kes Lina Joy dengan kes Rosliza Ibrahim seperti yang diterangkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam pengadilannya.

Katanya, “Ya, kedua-duanya adalah keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi kedua-duanya jauh bagai langit dan bumi.”

“Lina adalah seorang Islam sebelum beliau meminta untuk murtad daripada agama Islam dan memeluk agama Kristian manakala Rosliza pula tidak pernah menjadi seorang Islam semenjak awal,” tambahnya lagi.

Sembilan hakim yang bersidang telah memutuskan bahawa Rosliza binti Ibrahim iaitu Plaintif telah mengemukakan bukti yang kuat dan berjaya meyakinkan kesemua hakim bahawa ibu bapa beliau tidak pernah berkahwin ketika beliau lahir, beliau adalah anak tak sah taraf dan beliau tidak pernah mengamalkan ajaran agama Islam semenjak lahir hingga sekarang.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button