NGO

Rom & Parsi Pernah Tersungkur Ke Bumi Dengan Kekuatan Islam – Pengerusi PEMBELA

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 21 April 2022 – “Mungkin akan ada pihak yang mentertawakan usaha untuk membangun kembali tamadun kemanusiaan ini sebagai satu mimpi tetapi percayalah perkara yang sama juga berlaku kepada Rasulullah S.A.W. ketika memulakan dakwah ini tetapi akhirnya bukan sahaja Kota Mekah dan Madinah jatuh kepada Islam maka, Rom dan Parsi juga tersungkur ke bumi.”

Demikian kenyataan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya dalam Konvensyen Ulama & Da’i PEMBELA Islam mengenai usaha untuk membangun kembali tamadun kemanusiaan yang disifatkannya bukan satu mimpi tetapi salah satu usaha yang Rasulullah S.A.W. sendiri lakukan ketika memulakan dakwah baginda sehingga dapat menakluki Rom dan Parsi.

Seterusnya, beliau menyatakan bahawa perkara ini tidak mustahil berlaku berbekalkan tiga unsur utama yang akan menjadi unsur asas kepada kejayaan iaitu yang pertama imanu amik (iman yang mendalam), tanzimu dakiq (sistem yang tersusun) dan jihadu daiman (jihad yang berterusan).

Oleh yang demikian, golongan agamawan secara amnya dan ulama khususnya yang mempunyai kekuatan tersendiri iaitu kekuatan yang tidak dimiliki oleh musuh perlu memainkan peranan kerana jika tenaga-tenaga ulama ini dapat digemblengkan dengan baik, ia akan memberikan satu suara yang digeruni oleh musuh dan juga pimpinan pemerintah, jelas Hj Aminuddin.

Ini kerana menurut beliau, “Pemerintahan dan pembangunan sesebuah negara ini memerlukan kepada Al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber ini lebih difahami oleh ulama. Maka, sebuah negara dalam Kerajaan perlu merujuk ulama untuk melaksanakan hukum hakam Islam”.

Justeru, misi yang harus diperjuangkan oleh umat Islam hari ini adalah membina kembali segala kekuatan sama ada dari segi akidah, siyasah, muamalah dan juga tarbiyah.

“Kita wajib mewujudkan ekosistem ini bagi memastikan generasi yang lahir akan memenuhi hakikat insaniyatul insan iaitu manusia yang mempunyai tuhan.”

Leave a Reply

Back to top button