Tempatan

Wajibkan GDL: Penghantar Makanan Kesal Dengan Tindakan Kerajaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2022 – Ibarat jatuh ditimpa tangga, penghantar makanan p-Hailing kecewa dengan cadangan Kerajaan untuk mewajibkan setiap penghantar makanan mempunyai lesen vokasional iaitu Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

Menurut Presiden Persatuan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) Zulhelmi Mansor, cadangan Kerajaan itu berbeza dengan apa yang dituntut semasa sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, kelmarin.

“Apabila menteri memaklumkan mengenai keperluan lesen GDL ni, banyak penghantar makanan mula bersuara kerana sepatutnya isu utama perlu diselesaikan terlebih dahulu baru kita lihat kepada keperluan syarat tersebut. Ini kita minta lain, dapat benda lain.”

Katanya, sebanyak 10 tuntutan cadangan diutarakan semasa perjumpaan tersebut termasuklah harga lantai untuk caj penghantaran dan pengambilan pesanan.

“Ia juga termasuk dengan masalah peta digital yang mempunyai jarak berbeza dengan jarak sebenar, itu antara isu penting yang menjadi kegusaran sejak dahulu lagi.”

Sependapat dengan itu, Mohd Firdaus Abdul Hamid wakil daripada kumpulan protes tempoh hari itu berkata, cadangan Kerajaan itu akan lebih menekan komuniti p-Hailing.

“Sudahlah syarikat menekan kami dan sekarang pihak Kerajaan pun turut sama melakukan sedemikian. Jadi kami memang tidak setuju dengan cadangan pindaan tersebut kerana alasan syarat tersebut ingin dilakukan untuk mengetahui jumlah sebenar p-Hailing supaya dapat menjaga kebajikan kami tidak logik.”

“Sedangkan komuniti p-Hailing sudah diwajibkan untuk mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Jadi dekat situ sahaja Kerajaan boleh tahu berapa jumlah sebenar kami ni, kenapa tak tengok di sana sahaja?” soalnya.

Menyokong pandangan Firdaus, Adi Alzam Roslan menggesa Kerajaan untuk pertimbangkan semula cadangan tersebut dan memberi solusi kepada masalah-masalah sedia ada yang dihadapi kumpulan tersebut.

“Niat Kerajaan untuk membantu dalam menjaga kebajikan kami sebagai penunggang p-Hailing khususnya penghantar makanan memang kami sokong, tetapi caranya perlu lebih tepat, mensyaratkan lesen GDL bukan solusi sebenar,” ujarnya.

Sebelum ini, sekumpulan penghantar makanan telah melancarkan mogok dengan menghentikan perkhidmatan penghantaran makanan selama 24 jam bermula jam 12 malam, 7 Ogos 2022, sebagai protes kepada skala pembayaran tidak adil yang digunakan oleh syarikat perkhidmatan penghantaran makanan.

‘Food Delivery Blackout’ dilancarkan susulan tindakan syarikat penghantar makanan didakwa berterusan mengurangkan bayaran mereka dari semasa ke semasa dan sebarang aduan dari para penghantar tidak dilayan.

Susulan daripada itu, satu sesi pertemuan antara wakil penghantar makanan p-Hailing dan pemandu e-Hailing dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah diadakan bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh kumpulan terbabit.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: