RM41.6 juta Kepada SUHAKAM Hanya Untuk Meneruskan Agenda Songsang Mereka – Firdaus Wong Wai Hung
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 11 Disember 2021 – “Bayangkan peruntukan sebanyak RM41.6 juta kepada SUHAKAM hanya untuk meneruskan agenda songsang mereka,” tegas Firdaus Wong Wai Hung.
Menurutnya, perkara ini terbukti menerusi laporan tahunan SUHAKAM pada 2019 yang menyatakan, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM 41,645,928.822 dari tahun 2015 sehingga tahun 2019.
Justeru, Kerajaan perlu menghentikan sebarang penyaluran dana kepada SUHAKAM yang jelas bukan berjuang untuk memartabatkan Perlembagaan malahan dilihat sering mencabar Perlembagaan negara.
“Bahkan, yang lebih memelikkan adalah di dalam SUHAKAM juga terdapat mereka yang pandai agama tetapi mereka hanya mengambil sikap mendiamkan diri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut isu SUHAKAM yang dilihat terus-menerus bersama amalan dan agenda memperjuangkan naratif songsang yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Rukunegara, Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil.
Namun, persoalannya mengapa apabila timbul isu hak asasi manusia seperti isu rider Foodpanda ditindas, pekerja dipaksa buka tudung, dibelasah kerana berpuasa dan pekerja terpaksa menjual arak seperti yang sedang berlaku sekarang ini, SUHAKAM seolah kelu?
Dalam masa yang sama, Firdaus Wong yang juga pendakwah bebas itu turut mengecam tindakan suruhanjaya SUHAKAM yang pernah dan tergamak mengeluarkan iklan untuk mencari pengkaji jantina ketiga.
“Saya sendiri terkejut selepas melihat iklan seumpama itu “Biar betul SUHAKAM ni?” soalnya.
“Ya, saya tidak tersalah membaca, memang itulah “pengkaji” yang sedang dicari oleh SUHAKAM ketika itu,” ujarnya.
Bercerita lanjut Firdaus Wong berkata, “Mereka bukannya mencari pengkaji untuk mengkaji sama ada wujudkah jantina ketiga ini secara saintifik tetapi yang SUHAKAM cari adalah, “Pengkaji untuk Mengkaji Kebolehlaksanaan Pengiktirafan Jantina Ketiga di Malaysia.”
Maksudnya, sama ada terdapat bukti atau tidak itu tidaklah penting bagi SUHAKAM kerana tekad mereka adalah untuk mencari jalan bagi membolehkan jantina ketiga diiktiraf di Malaysia.
“Bayangkan seorang bayi dilahirkan tetapi apa yang dilakukan bukannya menentukan jantinanya berdasarkan alat kelamin asal, tetapi doktor telah diberitahu apakah jantina yang dikehendaki oleh ibu bapa bayi. Tugas doktor cuma perlu memastikan jantina bayi yang ibu bapa kehendaki boleh didaftarkan menurut undang-undang.”
“Bayangkan lagi wang sebanyak RM41.6 juta yang diperuntukkan kepada SUHAKAM boleh dikatakan hanya digunakan untuk meneruskan agenda songsang mereka,” ujarnya lagi.
Kerana itu beliau berpandangan daripada membazirkan wang rakyat dan diberikan kepada SUHAKAM, adalah lebih baik jika RM41.6 juta itu digunakan untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.
Soalnya sekarang, mengapa Kerajaan terus-menerus mahu memberikan dana kepada satu suruhanjaya yang saban tahun melaksanakan sesuatu projek seumpama ini yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia?
“Apakah logik kerajaan memberikan dana kepada suruhanjaya seperti ini? Persoalan ini perlu dijawab oleh pihak yang mencadangkan untuk dilantik pesuruhjaya- pesuruhjaya yang sudah jauh tersimpang ini.”
Maka, sudah sampai masanya Kerajaan menyemak semula fungsi dan peranan SUHAKAM ini, kerana ia bukanlah suruhanjaya yang mempertahankan hak asasi seluruh manusia, melainkan hanya hak asasi LGBT dan golongan songsang semata-mata.
“Saya ingin menyeru Kerajaan Malaysia (tidak kisah gabungan mana yang berkuasa) agar menarik balik segala peruntukkan kepada SUHAKAM dan menyiasat agenda penyelewengan pihak-pihak berkepentingan yang sedang bersembunyi di sebalik suruhanjaya itu,” katanya.