Tempatan

RM392 Bilion Diperlukan Atasi Masalah Banjir Hingga Tahun 2100

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 September 2022 – Malaysia dijangka memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM392 bilion bagi mengatasi masalah banjir negara sehingga tahun 2100.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, peruntukan tersebut termasuk komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar sebanyak RM230.71 bilion serta infrastruktur pantai berjumlah RM126.55 bilion.

Beliau berkata, kesungguhan Kerajaan dalam menangani isu tersebut dizahirkan melalui pelaburan besar dalam sektor air negara.

“Ini termasuklah peruntukan RM15 bilion secara ‘off budget’ untuk tempoh lapan tahun bermula tahun 2023 hingga 2030 bagi projek-projek tebatan dan penyelesaian banjir serta pembinaan struktur sabo di kawasan kritikal yang terjejas teruk akibat Monsun Timur Laut,” katanya ketika berucap pada Simposium Perubahan Iklim 2022 yang berlangsung di bangunan Parlimen hari ini.

Menyentuh mengenai usaha Kerajaan dalam mengatasi masalah perubahan iklim, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah membangunkan kerangka undang-undang perubahan iklim pada tahun lalu dan telah dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Datuk Seri Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa pembangunan mekanisme pasaran karbon menjadi salah satu topik hangat dibincangkan ketika beliau hadir ke persidangan COP-26 di Glasgow.

Sehubungan itu, KASA telah mengambil langkah membangunkan dasar dan inisiatif berkaitan pasaran karbon dengan Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia.

Kabinet juga telah bersetuju dengan garis panduan pasaran karbon sukarela antarabangsa sebagai asas panduan kepada entiti dalam negara yang ingin terlibat dalam pasaran karbon sukarela.

Lapor media tempatan, Simposium Perubahan Iklim 2022 turut dihadiri ahli politik dan juga profesional bagi membincangkan dan mencari alternatif terbaik dan lengkap dalam menangani masalah perubahan iklim.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: