Tempatan

RM216 Juta Nilai Bot Nelayan Vietnam Ditenggelamkan Maritim Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Terengganu berjaya menenggelamkan dua bot nelayan Vietnam yang ditahan menerusi Op. Naga Barat dan Op. Kuda Laut pada tahun lalu bagi menjadikannya tukun tiruan berhampiran Pulau Bidong.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, pelupusan kedua-dua bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah itu merupakan sumbangan Maritim Malaysia Negeri Terengganu kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi akiviti penyelidikan kajian akademik di Stesen Penyelidikan Alam Marin UMT, Pulau Bidong.

“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram,” katanya.

Dimaklumkan dalam kenyataan sama, kesemua bot tersebut adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2021 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara dan ini merupakan pelupusan kesembilan pada tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu. Dijangka sebanyak 40 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah tahun ini.

“Sehingga kini, sejumlah 144 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Malaysia dengan anggaran nilai RM 216 juta.”

Agensi penguatkuasaan yang komited dengan tugasnya itu akan terus melaksanakan rondaan bagi mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan Terengganu.

“Kerjasama masyarakat terutamanya komuniti maritim sangat dialu-alukan untuk melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang dan kecemasan yang berlaku di laut ke talian MERS 999.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: