Risau Dibunuh Iran, Warga Israel Bertempiaran Tinggalkan Turki
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ISTANBUL, 15 Jun 2022 – Kerajaan Israel mengarahkan rakyatnya keluar dari Istanbul susulan percubaan serangan pejuang Iran terhadap warganegara tersebut sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Times of Israel, lebih 100 warga Israel di Turki menerima panggilan telefon, diberi amaran serta diminta segera pulang ke negara tersebut.
“Kami mohon rakyat Israel untuk tidak terbang ke Istanbul, dan jika anda tiada keperluan penting, jangan terbang ke Turki. Jika anda sudah berada di Istanbul, kembali ke Israel secepat mungkin,” seru Menteri Luar Negeri Israel, Yair Lapid di laman Twitternya.
Mereka telah mengeluarkan amaran perjalanan sekaligus meningkatkan tahap amaran keganasan di Istanbul ke tahap 4 iaitu tahap tertinggi, di mana warga Israel dilarang melawat negara tersebut dan segera meninggalkan Istanbul sekiranya sudah berada di Turki.
Sementara itu, tahap amaran kawasan lain di negara berkenaan dikekalkan pada tahap ke-3 dan warga Israel dinasihatkan tidak melawat negara tersebut jika tiada keperluan penting.
Yair Lapid turut meminta pelancong Israel membatalkan sebarang tempahan penerbangan ke Turki berikutan serangan itu.
בעקבות אירועי השבועות האחרונים בתורכיה ואחרי סדרה של נסיונות לפיגועי טרור איראניים כלפי ישראלים שיצאו לנופש באיסטנבול, אנחנו קוראים לישראלים אל תטוסו לאיסטנבול ואם אין לכם צורך חיוני אל תטוסו לתורכיה. אם אתם כבר באיסטנבול, תחזרו לישראל בהקדם האפשרי.
— יאיר לפיד – Yair Lapid (@yairlapid) June 13, 2022
Pegawai negara berkenaan memaklumkan bahawa mereka tidak bercadang untuk menghantar penerbangan menyelamat dan ramai pelancong Israel di Turki tidak merancang untuk melarikan diri.
Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan pada jumlah penerbangan dari Turki ke Israel yang membawa beribu-ribu penumpang pada Isnin lalu.
Kebelakangan ini, ketegangan antara kedua negara berkenaan meningkat berikutan pembunuhan seorang pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di ibu negara Iran. Pembunuhan tersebut dipercayai berpunca daripada Israel namun negara itu memilih untuk tidak menanganinya.