Tempatan

Bekas Balang Akuarium: Penggunaan Bekas Bukan Tujuan Makanan Adalah Dilarang – KKM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 21 Julai 2023 – Penggunaan bekas yang bukan untuk tujuan makanan adalah dilarang, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau ini adalah merujuk kepada satu isu tular di media massa dan juga media sosial berkaitan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan.

“Adalah dimaklumkan bahawa penggunaan bekas bukan untuk tujuan makanan adalah dilarang seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.”

Beliau berkata, adalah menjadi satu kesalahan apabila akuarium yang berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan bertujuan untuk penyimpanan makanan digunakan sebagai bekas penyimpanan air bagi tujuan jualan.

BACA JUGA: 9 Hilang, Kapal Kargo Terbalik

BACA JUGA: Kerajaan Pahang Berjaya Tangkap 6 Individu Terlibat Perlombongan Mineral Haram

BACA JUGA: Muat Naik Rakaman Dari Luar Negara, JAINJ Sukar Tangkap Pengikut Si Hulk

Jelas beliau, kebiasaannya akuarium diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik di mana ia berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates yang berpotensi untuk larut dalam air sekali gus mencemarkan air tersebut dan memberi kesan kepada kesihatan.

Pihak KKM justeru menegaskan kepada penjual serta pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan dan memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua.

“KKM melalui BKKM akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.”

Dalam masa yang sama, orang ramai turut dinasihatkan agar membeli makanan di premis makanan yang bersih dan menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat jika terdapat sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di www.facebook.com/bkkmhq.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: