Tempatan

Rider p-Hailing Tuntut Harga Lantai RM5 Untuk 5KM Pertama

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2022 – Harga lantai pada kadar RM5 untuk lima kilometer (KM) pertama dan RM1 untuk setiap KM seterusnya bagi penghantaran pesanan adalah antara yang dituntut oleh komuniti p-Hailing.

Menurut Presiden Persatuan-Persatuan Penghantar p-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor, penetapan harga lantai dengan kadar munasabah penting bagi memastikan tiada pihak mengeksploitasi hak mereka.

“Seperti dalam 10 pelan jangka pendek yang kami bawa semasa sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tempoh hari, ia ada membincangkan mengenai tuntutan penetapan harga lantai bagi caj pengambilan dan penghantaran.”

“Bagi pengambilan, kami mahu jarak maksimum untuk mengambil pesanan adalah dua KM dan setiap KM seterusnya kami perlu diberikan sebanyak RM0.50. Sebab ketika ini berlaku, daripada titik A ke titik B, kami tak tahu jumlah insentifnya sedangkan ia semua kos.”

“Untuk penghantaran kami mahu harga tetap RM5 untuk lima KM pertama, ia juga tak kira sama ada perjalanan penghantaran itu bawah lima KM sekalipun tetap RM5.”

Katanya, ketika ini tiada kadar harga lantai ditetapkan hingga menyebabkan penghantar makanan terbeban dengan bayaran upah perjalanan yang semakin sedikit dan tidak membawa pulangan modal.

Tambahnya lagi, jarak dalam aplikasi penghantar makanan juga perlu diselaraskan dengan jarak sebenar iaitu seperti sistem aplikasi Waze dan Google Maps.

“Ini kerana, jarak dalam aplikasi tidak sama dengan jarak sebenar. Dalam aplikasi ia seolah-olah kira mengikut pembaris dari titik A ke titik B walhal jarak di atas jalan raya melebihi jarak yang mereka kira,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zulhelmi juga berkata insentif-insentif lain juga perlu diberi kepada penghantar makanan seperti elaun kerja pada cuti umum, lewat malam dan juga elaun menunggu pengambilan pesanan di vendor.

“Untuk kerja cuti umum dan lewat malam, penghantar makanan perlu dibayar sekurang-kurangnya RM1.50 untuk setiap pesanan. Bagi caj restoran yang lewat menyediakan pesanan, penghantar makanan perlu diberi RM0.20 bagi setiap minit.”

“Ini kerana ada sesetengah kes yang berlaku, penghantar makanan ni kena tunggu lama di restoran atau vendor. Ada juga vendor yang tidak jujur, mereka tekan makanan sudah siap disediakan walhal mereka baru nak buat, akhirnya kami dimarahi oleh pelanggan,” katanya.

Dalam masa yang sama Zulhelmi juga memberitahu setakat ini syarikat pengendali p-Hailing masih membisu dan tiada sebarang tindakan yang diambil di sebalik tuntutan dikemukakan komuniti berkenaan.

“Selagi tiada polisi tentunya pihak syarikat boleh terus menganiaya penghantar makanan dan barang, sebab itu penting untuk Kerajaan membuat prasyarat tertentu bagi menjamin pendapatan kami terutama berkaitan harga lantai dan menambah baik peta digital.”

Mengulas lebih lanjut, Zulhelmi berkata komuniti p-Hailing akan membentuk satu jawatankuasa pada minggu depan bagi mendesak Kerajaan menyegerakan sembilan tuntutan yang dikemukakan mereka menerusi pelan jangka pendek.

Jelasnya, langkah itu terpaksa diambil bagi menjamin pendapatan di samping menjaga kebajikan komuniti tersebut.

Leave a Reply

Back to top button