Ribut Petir Diramal Langgar Sabah 3 Hari Berturut-Turut
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 28 Disember 2022 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir akan melanda kebanyakan kawasan di Sabah selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini.
METMalaysia dalam kenyataannya, memaklumkan Sandakan dan Tawau dijangka mengalami ribut petir sepanjang hari ini manakala hujan di sebelah malam.
Pada hari Khamis, ribut petir diramal membadai Sandakan di waktu pagi dan petang, dan menyebar ke Pedalaman, Pantai Barat, Tawau dan Kudat pada sebelah petang.
Sementara pada waktu malam, Pedalaman dan Wilayah Labuan sahaja diramalkan ribut petir manakala Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat dijangka berlaku hujan.
Seterusnya, pada hari Jumaat, ribut petir dijangka membadai Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat pada sebelah petang sahaja.
Walau bagaimanapun, amaran hujan berterusan (waspada) juga dikeluarkan untuk negeri Sabah.
Hujan berterusan dijangka berlaku di Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga hari ini.