Tempatan

Lebih 400 Hektar Sawah Padi Di Perlis Berisiko Jerlus

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ARAU, 26 Januari 2024 – Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri menjangkakan seluas 496.21 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini berdepan risiko atau bakal menghadapi masalah sawah padi jerlus jika tidak ada sebarang tindakan diambil untuk menanganinya.

Pengerusinya, Razali Saad berkata, walaupun keluasan kawasan yang bakal terjejas hanya meliputi kurang dua peratus daripada keseluruhan kawasan padi negeri, namun kesan bencana itu akan menjejaskan lebih 15,000 pesawah.

Antara kawasan di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang berdepan risiko tersebut adalah seperti di A-I Arau (46.7 hektar); B-I Kayang (171.8 hektar); C-I Kangar (120.59 hektar); D-I Tambun Tulang (18.7 hektar) dan E-I Simpang Empat (138.38 hektar).

“Sehingga November tahun lalu, kawasan yang sudah terjejas di negeri ini adalah seluas 38.04 hektar.”

“Malah, seluas 88 hektar kawasan sawah padi tidak boleh melaksanakan aktiviti penanaman padi bagi musim 2/2022 lalu berikutan masalah tersebut.”

Mengulas lanjut, Razali berkata masalah infrastruktur seperti saliran menjadi salah satu punca masalah tanah jerlus tersebut dan beliau menjangkakan sebanyak RM223.4 juta diperlukan untuk menyelesaikan sistem pengairan di seluruh kawasan penanaman padi di negeri ini.

Selain Perlis, negeri-negeri lain turut mengalami masalah yang sama iaitu di Kelantan dan Perak.

Selasa lalu, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kehilangan hasil padi sebanyak 4,200 tan metrik pada 2022 berpunca masalah sawah jerlus melibatkan keluasan 1,000 hektar.

Manakala di Kerian sahaja, kejadian jerlus membabitkan 595 hektar sawah padi mengakibatkan pesawah berdepan kerugian apabila padi tidak dapat dituai menggunakan jentera berat disebabkan tayar tenggelam dalam sawah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: