Ribut Perlis : Kerugian Hampir RM1 Juta
KANGAR, 31 Mac 2023 – Ribut yang melanda negeri Perlis baru-baru ini telah mengakibatkan kira-kira RM973,680,00 kerugian khususnya membabitkan kerosakan kediaman, harta benda selain penjaja yang terkesan.
Menurut pihak berkuasa, sebanyak 297 laporan polis telah diterima daripada orang ramai yang melaporkan kerosakan kediaman, harta benda dan premis perniagaan mereka dengan bilangan kes tertinggi adalah di kawasan Kangar dengan 289 laporan.
BACA JUGA: Ikan Buntal Bertoksin, Dilarang Jualan – KP Kesihatan
BACA JUGA: Depresi Dikalangan Kakitangan Polis, Meragut 2 Nyawa Sejak Jan 2023 – Menteri
BACA JUGA: ‘Scam’ Bazar Ramadan: CAP Gesa KPDN Ketatkan Penguatkuasaan
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, mesyuarat khas jawatankuasa bencana negeri telah dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS) sedang giat menjalankan siasatan dan lawatan tapak ke rumah mangsa.
Siasatan dijalankan berdasarkan laporan yang diterima daripada pemimpin masyarakat, amil dan imam di setiap kariah selain mangsa-mangsa yang terlibat.
Jelasnya, pihak JKM akan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa terlibat khususnya bagi membaiki kerosakan kediaman masing-masing berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, manakala MAIPs pula akan menyalurkan bantuan bagi membaiki kerosakan besar.
“Pihak MAIPs juga akan menimbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang berada di luar garis panduan JKM berdasarkan kes tertentu,” tambahnya lagi.
Selain itu, penjaja dan peniaga yang terjejas boleh mengemukakan laporan kepada pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi tujuan pertimbangan bantuan oleh jabatan dan agensi yang terlibat.
Dalam kejadian ribut kira-kira pukul 4.45 petang kelmarin, ratusan rumah serta puluhan gerai para peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri sekitar negeri ini antara yang dilaporkan terjejas teruk.
Susulan itu, pihak MPK telah mengambil tindakan segera membersihkan kawasan-kawasan terlibat terutama jalan dan laluan kenderaan yang terhalang oleh dahan-dahan dan pokok-pokok tumbang.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk membantu semua pihak yang terkesan akibat kejadian ribut dan akan memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa-mangsa ini diberi perhatian sepenuhnya.