Ribut Kemiskinan Punca Pelarian Lubnan, Syria Dan Palestin Ingin Larikan Diri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TIMUR TENGAH, 23 Ogos 2022 – Ribut kemiskinan yang berpunca dari inflasi, pengangguran, kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan, sistem penjagaan kesihatan yang runtuh, serta tadbir urus yang tidak berfungsi menjadi punca pelarian dari Lubnan, Syria dan Palestin ingin melarikan diri sekali lagi.
Sebelum kejatuhan ekonomi di Lubnan, Syria dan Palestin, pelarian dari tiga negara Islam itu terpaksa bergelut dengan kehidupan untuk bertahan dan kebanyakan darinya terpaksa mencari keselamatan yang lebih terjamin di luar negara sehinggakan terpaksa meminta bantuan kepada pihak yang berkaitan penyeludupan haram.
Berdasarkan kenyataan yang dibuat sebuah media luar negara, situasi yang sedang berlaku ketika ini sepertinya tidak mempunyai harapan untuk menjadi lebih baik susulan semakin ramai rakyat Lubnan yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar laluan yang lebih selamat dan sah di luar negara. Mereka ini dikatakan terpaksa menggadaikan nyawa untuk menyeberangi laut secara haram serta berbahaya untuk ke Eropah.
Hal ini turut memberi kesan negatif kepada seorang pekerja penghantaran yang dikenali sebagai Abu Abdullah berusia 57 tahun dari Tripoli yang merasakan dirinya kurang bertanggungjawab terhadap keluarganya dengan berkata;
“Saya tidak dapat memberi makan kepada keluarga saya. Setiap hari saya merasakan seperti seorang lelaki yang serba kekurangan. Saya lebih rela mempertaruhkan nyawa saya di laut daripada mendengar tangisan anak-anak saya apabila mereka kelaparan.”
“Salah seorang anak lelaki saya berkeliaran di sekitar tempat pembuangan sampah kejiranan bagi mencari tin dan plastik untuk dijual. Hancur hati saya melihat dia melakukan perkara tersebut. Tetapi untuk mendapatkan makanan, kami tidak mempunyai pilihan lain,” ujar Abu Abdullah yang sedih akan situasi yang melanda.
Pada April, sebuah bot yang membawa 84 orang terbalik di luar pantai Lubnan berhampiran Tripoli selepas ia dipintas oleh tentera laut. Hanya 45 orang di dalam kapal tersebut berjaya diselamatkan manakala, enam yang lain didapati lemas termasuk seorang bayi. Selebihnya secara rasmi diklasifikasikan sebagai hilang.
“Seorang saudara saya kehilangan suami dan anak kecilnya di laut sekitar dua tahun lalu. Tragedi itu masih menghantui keluarga. Namun, saya di sini memikirkan bahawa saya harus menaiki bot seterusnya,” ujar Abu Abdullah.
Keadaan itu mungkin lebih sukar bagi berjuta lagi pelarian Syria dan Palestin yang tinggal di Lubnan. Begitu lama mereka dianggap sebagai golongan bawahan serta dinafikan akses kepada beberapa bentuk pekerjaan dan kebajikan. Ramai daripada mereka kini menghadapi dilema yang serupa, sama ada mahu kekal atau mencuba jalan lain yang merisikokan nyawa.