Antarabangsa

Ribuan Ulama Timur Tengah Tandatangan Resolusi Boikot Israel

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Ribuan Ulama Timur Tengah Tandatangan Resolusi Boikot Israel

AMERIKA UTARA, 26 Mac 2022 – Ribuan ulama Persatuan Pengajian Timur Tengah (MESA) telah menandatangani resolusi untuk menyokong tindakan boikot terhadap Israel baru-baru ini.

Menurut The Times of Israel, MESA merupakan sebuah organisasi akademik yang menjalankan kajian antarabangsa mengenai dunia Arab dan Israel. Mereka menandatangani resolusi tersebut kerana menyokong gesaan rakyat Palestin untuk bersatu padu dalam bentuk boikot, pelupusan dan sekatan (BDS).

Resolusi itu juga menyeru supaya ‘boikot akademik’ diadakan terhadap institusi pendidikan Israel sekaligus memutuskan sebarang hubungan rasmi dengan institusi pendidikan negara tersebut. Walaupun sedemikian, mereka tidak menyasarkan individu pelajar atau ulama dari negara itu.

80% ahli organisasi menyokong resolusi berkenaan, justeru itu ia menjadikan MESA organisasi akademik terbaru yang menyokong resolusi BDS dan berkemungkinan ahlinya paling arif tentang Israel dan Timur Tengah.

“Ahli persatuan kami telah memberikan sokongan yang jelas untuk menjawab seruan solidariti pelajar dan ulama Palestin yang sedang ditindas dari hak mereka terhadap pendidikan dan hak asasi manusia yang lain,” ujar Eve Troutt Powell, presiden organisasi itu.

Tambah beliau, Lembaga MESA akan terus berusaha untuk menghormati kehendak ahlinya dan memastikan agar seruan boikot ini diteruskan tanpa menjejaskan komitmen pihak Lembaga MESA.

Antara organisasi lain yang menyokong BDS ialah Persatuan Antropologi Amerika, Persatuan Bahasa Moden dan juga Persatuan Pengajian Amerika.

Undian dan sokongan MESA merupakan simbolik penting dalam perdebatan mengenai bagaimana Israel patut dibincangkan di kampus institusi pendidikan walaupun resolusi tersebut tidak memberi kesan besar pada institusi Israel itu sendiri.

Para pengkritik mengatakan bahawa resolusi yang timbul dari kumpulan akademik ini akan menggalakkan antisemitisme di kampus atau mereka sendiri bersifat antisemit iaitu satu sikap permusuhan terhadap kaum Yahudi sebagai kumpulan kebangsaan, etnik, agama atau kaum.

AMCHA Initiative, sebuah kumpulan advokasi kampus pro-Israel mendakwa bahawa profesor yang menyokong BDS lebih cenderung untuk memupuk suasana antisemitik di kampus. Selepas mendapati sokongan kuat MESA terhadap BDS, mereka telah mengeluarkan kenyataan bahawa undian majoriti itu adalah ‘tercela secara moral dan sangat berbahaya’.

Anti-Defamation League (ADL), sebuah organisasi pakar dalam undang-undang sivil terkejut dengan keputusan undian itu dan berhujah bahawa ia menggugat prinsip akademik dialog malah menghalang penglibatan Israel-Palestin.

ADL juga menyeru universiti-universiti yang bergabung dengan MESA untuk menarik diri dari resolusi tersebut.

Walaupun dikatakan sedemikian oleh pengkritik, MESA menjelaskan bahawa resolusi tersebut memfokuskan kepada kebebasan akademik dan dialog, termasuklah kebebasan ahli akademik Israel untuk mengkritik negara mereka tanpa rasa takut.

Bahkan, sebelum ini, ada ahli akademik Israel yang disenaraihitamkan dari pekerjaan bidang akademik kerana menerbitkan penyelidikan yang sangat kritikal terhadap kerajaan mereka.

Ian Lustick, pengasas dan mantan presiden Persatuan Kajian Israel juga merupakan ahli MESA yang mengundi untuk resolusi menyokong tindakan boikot terhadap Israel.

Organisasi MESA mempunyai lebih daripada 2,800 ahli dari seluruh dunia. 33 ahlinya dari Israel walaupun tumpuan utama organisasi tersebut adalah di Amerika Syarikat. Sesetengah ahli pula adalah profesor pengajian Yahudi atau Israel.

Leave a Reply

Back to top button