Ribuan Pesalah Ganja Dapat Pengampunan Biden
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
WASHINGTON, 09 Oktober 2022 – Kira-kira 6,500 orang terjejas secara langsung oleh sabitan di bawah kesalahan berkait ganja mendapat pengampunan dari Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
Pengampunan akan diperluaskan kepada ribuan lagi yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang di ibu negara persekutuan, Washington.
“Saya mengumumkan pengampunan bagi semua kesalahan persekutuan sebelumnya iaitu pemilikan ganja,” kata Biden.
Tindakan itu diambil untuk menunaikan janji kepada penyokongnya sebulan sebelum pilihan raya tengah penggal serta sebagai usaha ke arah membuang stigma terhadap tumbuhan itu.
Sebagai tambahan kepada pengampunan, Biden mengarahkan jabatan keadilan dan kesihatan untuk menentukan sama ada ganja perlu diklasifikasikan semula sebagai bahan yang kurang berbahaya.
Walaupun Biden tidak menggesa untuk menyah jenayah ganja sepenuhnya, namun isyarat Biden bertujuan untuk mengambil perubahan lebih jauh, memberi tekanan kepada pihak berkuasa negeri di mana-mana untuk mengikutinya
“Saya menggesa semua gabenor untuk melakukan perkara yang sama berhubung dengan kesalahan negeri. Sama seperti tiada sesiapa yang sepatutnya berada di penjara persekutuan semata-mata kerana memiliki ganja, tiada sesiapa pun harus berada di penjara tempatan atau penjara negeri atas sebab itu juga,” tegasnya.