Ribuan Kedai Di Bazar Pakaian Terkenal Bangladesh Dijilat Api
BANGLADESH, 05 APRIL 2023 – Sebuah kebakaran yang dahsyat telah memusnahkan ribuan kedai di sebuah pasar pakaian yang popular di Dhaka, di mana ianya telah menyebabkan kerugian yang besar hanya beberapa minggu sebelum orang Islam menyambut Aidilfitri.
Ratusan ahli bomba dan ahli tentera bergelut dengan api yang membakar kedai-kedai tersebut dengan marak. Kebakaran tersebut kemudiannya dapat dikawal pada jam 12.45pm waktu tempatan, enam jam setelah ianya mula berlaku.
BACA JUGA: Pendirian Bar Council Tidak Konsisten & Nampak Politikal – Lukman Sheriff
BACA JUGA: Hujan & Ribut Petir Langgar Beberapa Negeri Sehingga Jumaat Ini
Kebakaran besar tersebut turut menyebabkan beberapa orang tercedera namun tiada sebarang kematian yang dilaporkan setakat ini.
Pihak berkuasa masih mencari punca berlakunya kebakaran besar tersebut.
Seorang pegawai di Persatuan Pemilik Kedai Dangabazar, D M Habib menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 3,000 buah kedai telah musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut, di mana kebanyakan daripada premis-premis tersebut dibina daripada timah dan kayu.
Katanya lagi, ramai peniaga di pasar tersebut sudahpun menyediakan produk pakaian tambahan yang bernilai ratusan juta untuk dijual bersempena Aidilfitri.
Menurut data rasmi, sebelum ini sekurang-kurangnya enam kejadian kebakaran berskala kecil ke sederhana sudah berlaku di pasar tersebut. Namun menurut Habib, kebakaran pada kali ini adalah sangat besar yang mengingatkannya mengenai kejadian kebakaran di tempat yang sama pada tahun 1995, di mana seluruh pasar telah musnah terbakar.
Pasar tersebut merupakan destinasi terkenal bagi produk pakaian berjenama barat yang dijual pada harga yang rendah, di mana pasar tersebut banyak menjual pakaian yang dihasilkan di kilang-kilang tempatan namun tidak mencapai piawaian impot.