Ribuan Askar Israel Dapatkan Rawatan Mental Sejak 7 Oktober – Laporan
JERUSALEM, 21 Jun 2024 – Kira-kira 8,663 tentera rejim Zionis Israel dikatakan telah mendapatkan rawatan di jabatan pemulihan mental dan fizikal sejak pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu, menurut data rasmi yang didedahkan pada Isnin.
Menurut laporan, Knesset Israel dalam satu kenyataan berkata Kementerian Pertahanan telah mengemukakan data berkenaan kepada Jawatankuasa Audit Negara Parlimen antaranya menjelaskan bahawa 35 peratus daripada yang cedera yang sedang dirawat di wad pemulihan mengalami kecederaan psikologi.
Pengerusi jawatankuasa berkenaan, MK Mickey Levy berkata, “Saya tahu bahawa pusat kesihatan mental telah ditubuhkan, dan bahawa Kementerian Pertahanan dan jabatan pemulihan melakukan segala yang mereka mampu untuk memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya, tetapi kita harus memahami bahawa ini adalah bom jangka.”
Laporan sama berkata, Pasukan Pendudukan Israel (IDF) meneruskan peperangan mereka ke atas Gaza sekali gus mengabaikan beberapa perkara antaranya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikannya serta merta, perintah daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menamatkan pencerobohan Rafah, mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah tindakan genosid serta memperbaiki keadaan kemanusiaan yang teruk di Semenanjung Gaza.
Tel Aviv juga dikatakan mengingkari permintaan Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu serta Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas “jenayah perang” dan “jenayah kemanusiaan” di Gaza.
Pencerobohan Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan lebih daripada 122,000 rakyat Palestin terbunuh dan cedera yang mana kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita, manakala lebih daripada 10,000 hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran serta kebuluran yang meragut nyawa ramai orang yang kebanyakannya kanak-kanak.