Antarabangsa

Republik Sekular Indonesia Jenayahkan Seks Luar Nikah, Bersekedudukan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JAKARTA, 07 November 2022 – Hubungan seks luar nikah kini sah sebagai jenayah di Indonesia setelah parlimen negara itu meluluskan undang-undang itu semalam.

Undang-undang berkenaan bukan sahaja tertakluk kepada rakyat Indonesia bahkan juga ke atas pelancong warga asing.

Namun begitu, undang-undang itu tidak akan berkuatkuasa serta-merta.

Jelas Timbalan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Edward Omar Sharif Hiariej, selepas proses ratifikasi, kanun jenayah baharu berkenaan mesti ditandatangani terlebih dahulu oleh Presiden.

“Undang-undang baharu ini mempunyai banyak peraturan berkait pelaksanaan yang harus diselesaikan, justeru mustahil dilakukan dalam tempoh setahun.”

Tambahnya lagi, transisi daripada kanun lama kepada baharu itu dijangka mengambil masa maksimum tiga tahun.

Berdasarkan salinan pindaan kanun jenayah itu, ia antara lain meliputi beberapa artikel disemak semula yang menjadikan kesalahan hubungan seks luar nikah boleh dihukum penjara setahun, manakala bersekedudukan pula selama enam bulan.

Bagaimanapun, pertuduhan zina mesti berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pasangan, ibu bapa atau anak tertuduh.

Undang-undang itu juga mengharamkan tindakan mempromosikan pencegahan kehamilan serta menghina agama dan mengekalkan ketetapan bahawa tindakan menggugurkan kandungan adalah jenayah.

Namun pengecualian diberi kepada wanita yang mengalami masalah kesihatan mengancam nyawa serta mangsa rogol, dengan syarat janin berusia kurang 12 minggu, selaras peraturan sedia ada dalam Undang-Undang Amalan Perubatan 2004.

Kanun itu turut mengekalkan hukuman mati dalam sistem penghakiman jenayah meskipun terdapat desakan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan dan kumpulan lain supaya ia dimansuhkan.

Selain itu, perbuatan menghina presiden dan menyatakan pandangan bertentangan dengan ideologi negara yang dikenali sebagai Pancasila, juga diharamkan.

Kes menghina Presiden mesti dilaporkan oleh pemimpin itu sendiri, dan boleh dihukum penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: