Tempatan

Remaja, Budak 2 Tahun Maut Akibat Keracunan Makanan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GOMBAK, 11 Jun 2024 – Dua maut melibatkan seorang budak perempuan berusia dua tahun serta remaja 17 tahun dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah di sini, kelmarin.

“Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit-birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

“Pada jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir.

Manakala, mangsa kedua pula merupakan anak kepada sorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

“Pada jam 10.45 malam kelmarin, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut,” kata beliau.

Menurut Noor Ariffin, siasatan setakat ini mengklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Mengulas lanjut, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 01250118901 atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad, 0142389151.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: