Antarabangsa

Rejim Haram Aparteid Israel Tebang Puluhan Pokok Zaitun Untuk Projek Syarikat Air Haram

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SALFIT, 23 September 2022 – Tentera rejim haram aparteid Israel bertindak memusnahkan kawasan besar bandar Az-Zawiya, barat Salfit dengan menebang puluhan pokok zaitun untuk kepentingan sebuah projek di bawah syarikat air rejim haram, Mekorot.

Lapor agensi media Palestin, Timbalan Datuk Bandar Az-Zawiya, Anees Shuqair berkata bahawa tentera rejim haram Israel meneruskan rancangan mereka meratakan kawasan tersebut untuk memasang paip air di bawah kendalian syarikat Mekorot.

Ujarnya, projek paip air itu akan menjejaskan kawasan tanah seluas 40 ekar sekali gus menghubungkan dua penempatan haram iaitu penempatan Ariel dan Elkana di sebelah timur dan barat laut bandar Az-Zawiya.

Berdasarkan laporan diterbitkan oleh pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Al-Haq, syarikat Mekorot telah mengeluarkan sejumlah air daripada wilayah Palestin yang diduduki (OPT) melebihi peraturan penggunaan yang ditetapkan The Hague Regulation, sekali gus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Dengan memperuntukkan kuantiti air yang banyak secara haram daripada rakyat Palestin, tindakan Mekorot mungkin sama seperti jenayah perang rompakan. Penggerudian telaga haram Mekorot dengan sokongan infrastruktur TAHAL, memberi penempatan haram Israel bekalan air tanpa had, pada masa yang sama menyekat bekalan air untuk rakyat Palestin di kawasan tersebut,” ujar laporan berkenaan.

Selain itu, tindakan Mekorot ini dan kebanyakan syarikat lain secara terang-terangan melanggar cara sara hidup rakyat Palestin, Perkara 1(2) Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik serta Perkara 1(2) Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial, dan Budaya.

Rejim haram aparteid Israel menubuhkan syarikat bekalan air Mekorot dan menggunakannya sebagai senjata menentang rakyat Palestin. Mereka mengawal pengagihan air di OPT, memusnahkan mata pencarian petani Palestin malah tindakan tersebut turut mendorong peningkatan penyakit dan kekurangan air dalam kalangan rakyat Palestin.

Leave a Reply

Back to top button