Rejim Haram Aparteid Israel Tak Akan Berhenti Robohkan Rumah Rakyat Palestin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NEW YORK, 02 Oktober 2022 – Rejim haram aparteid Israel tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti merobohkan rumah rakyat Palestin, ujar Perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Asia Barat, Tor Wennesland.
Walaupun rejim Zionis itu dilihat melakukan beberapa langkah ‘positif’ seperti pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dengan pegawai atasan rejim haram aparteid Israel, pengeluaran 16,000 permit untuk pekerja dan perniagaan warga Palestin di Gaza serta peningkatan import dan eksport, rejim Zionis itu masih berterusan mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB pada 2016.
Resolusi tersebut menetapkan agar rejim haram aparteid Israel menghentikan serta-merta semua aktiviti penempatan haram di tanah Palestin, namun sebaliknya terjadi apabila mereka masih mengerakkan perancangan untuk membina hampir 2,000 unit kediaman dalam tempoh tiga bulan lalu.
Lapor berita tempatan, Wennesland mengingatkan bahawa ketiadaan proses damai yang bermakna untuk menamatkan pendudukan rejim haram aparteid Israel dan menyelesaikan konflik itu akan memburukkan lagi situasi tegang seluruh Palestin, terutamanya di Tebing Barat, di samping mendorong persepsi konflik berkenaan tidak boleh diselesaikan.
Selain itu, Wennesland turut mengatakan, Palestin dan rejim haram aparteid Israel harus menentukan bagaimana mereka membayangkan masa depan berhubung kemelut tersebut.
Sebelum ini, resolusi berkenaan diluluskan apabila AS yang berada dalam minggu terakhir pentadbiran Presiden Barack Obama, berkecuali daripada menggunakan kuasa vetonya menyokong rejim haram aparteid Israel sebagaimana dilakukan sebelum itu. Namun, ketika di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, resolusi tersebut menerima tentangan keras.
Duta Amerika Syarikat (AS), Linda Thomas-Greenfield memaklumkan bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden menyokong penyelesaian dua negara, sekali gus menggesa kedua-dua pihak bertindak bagi merekodkan kemajuan sebenar dalam menangani isu berkenaan.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour pula meminta PBB untuk memulakan pelaksanaan resolusinya.