Tempatan

Reform Keanggotaan Jemaah Menteri Untuk Membanteras Korupsi Politik

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Korupsi akibat daripada pendanaan politik berlaku kerana sistem yang ada tidak mungkin dapat menanganinya. Korupsi sedemikian berlaku kerana timbul keperluan untuk menjaga kepentingan parti atau individu yang ingin mendapatkan sokongan atau melangsungkan kepimpinan dalam parti di pelbagai peringkat.

Sebaik mana pemimpin sekalipun, dia juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kebajikan mereka yang berkerja dan berkhidmat siang dan malam untuknya. Dalam keadaan biasa yang tidak memerlukan perbelanjaan luar jangka, mungkin godaan untuk menerima budi dapat ditepis dengan begitu mudah. Apabila seorang pemimpin terpilih dan dilantik ke jawatan yang berpengaruh, sudah pasti cita-cita dan godaan pula semakin tinggi. Sukar untuk menolak persepsi bahawa jawatan eksekutif Persekutuan dan Negeri perlu melalui proses dan liku yang menuntut pengaruh dibina daripada peringkat akar umbi lagi. Keadaan yang dibincangkan ini tidak hanya melibatkan sebuah parti politik sahaja. Keadaan itu boleh berlaku kepada mana-mana parti politik.

Korupsi akibat pendanaan politik akan terus berlaku kerana tiada undang-undang yang jelas yang menggariskan tatacara pendanaannya. Pendanaan politik mempunyai realitinya yang tersendiri. Sekatan kepada kumpulan perkhidmatan awam tertentu untuk terlibat aktif dalam parti politik walaupun mempunyai justifikasi, turut menyumbangkan kepada keperluan dana politik untuk membiayai pemimpin dan pekerja parti di pelbagai peringkat

Tafsiran dan tuduhan korupsi akibat pendanaan politik menjadi begitu luas dan mudah diekploitasikan apabila berlaku pendakwaan terpilih. Agenda reform perlu dilakukan secara sistematik untuk menguruskan isu tersebut kerana korupsi akibat pendanaan politik tidak mungkin dapat ditangani dengan hanya menuding jari kepada beberapa individu sahaja.

Pendanaan politik tidak mungkin boleh dihapuskan melalui sistem yang ada kerana tidak mungkin parti yang menguasai Kerajaan dapat membayar imbuhan buat semua pekerjanya dengan hanya bergantung kepada yuran keahlian parti politik itu. Dalam pada masa yang sama untuk menguruskan parti yang memiliki keahlian jutaan orang bukannya mudah. Begitu juga untuk melahir dan mengemukakan calon yang berwibawa dalam pilihan raya.

Oleh itu, saya mencadangkan pindaan kecil kepada Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berimpak tinggi dibuat untuk mencapai maksud yang berikut:

1. Hanya Perdana Menteri dan Menteri Besar disyaratkan dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya.

2. Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh dianggotai selain daripada wakil rakyat dan senator, iaitu terbuka juga dalam kalangan anggota perkhidmatan awam yang mengetuai portfolio berkenaan. Pendekatan tersebut akan meningkatkan etika kerja dan tadbir urus yang baik kerana pemilihan anggota eksekutif utama terbuka kepada mereka yang penuh berpengalaman, berintegriti dan berkelayakan.

3. Peranan Ahli Parlimen boleh dirujuk kepada ahli Kongres Amerika Syarikat; Dengan harapan Ahli Parlimen dapat menumpukan ikhtiar untuk membawa dan membahaskan isu rakyat. Melalui pendekatan ini, mereka yang ingin bertanding sebagai Ahli Parlimen perlulah benar-benar berjiwa besar untuk memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengidamkan jawatan eksekutif. Sebagai balasan, imbuhan Ahli Parlimen perlu digandakan agar mereka boleh berkhidmat dan mempunyai pentadbiran sokongan serta boleh memperakukan peruntukan tertentu buat kebajikan rakyat atas perbelanjaan Kerajaan, bukan parti atau duit peribadi.

4. Prinsip kebertanggungjawaban Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kepada badan perundangan masing-masing akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan kerana mereka tidak disyaratkan dalam kalangan ahli badan perundangan iaitu Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri; Justeru mereka tidak tertakluk pada keperluan untuk memegang jawatan tertentu dalam parti politik, dan terdedah untuk menyalahgunakan kedudukan dalam Kerajaan demi survival dalam kepimpinan parti.

5. Ahli badan perundangan pula dapat berfungsi dengan lebih efektif untuk semak-imbang kerana ahli Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak semestinya pemimpin kanan parti mereka.

6. Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan mendapat gandingan mantap daripada pelbagai pengalaman dan kepakaran yang terlatih dengan amalan kerja beretika dan berintegriti untuk melaksanakan amanah Perlembagaan, Diraja dan rakyat.

7. Polisi Kerajaan tidak mudah berubah disebabkan pertukaran kepimpinan.

8. Amalan korupsi akan dapat dibanteras dengan perubahan secara sistematik apabila punca utamanya dikawal atau dapat dihapuskan.

Bagi mencapai maksud di atas, perenggan (b) Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan perlu ditambah dengan ayat baharu “atau anggota perkhidmatan awam menurut Perkara 132”. Pindaan yang sama boleh dibuat kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi,
Fakulti Pengurusan Industri,
Universiti Malaysia Pahang

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: