Tempatan

Rayuan MAIS Penukaran Agama Anak Daripada Hindu Ditangguh

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 26 Januari – Mahkamah Rayuan, pada Selasa menangguhkan perbicaraan kes penukaran agama tiga orang anak daripada Hindu kepada Islam gara-gara terdapat perbicaraan kes yang hampir sama di Mahkamah Persekutuan pada hari ini.

Kes di Mahkamah Rayuan ini adalah sebuah rayuan daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pejabat Pendaftar Muallaf Negeri Selangor (PPMS) ke atas keputusan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak tersebut kepada Islam adalah tidak sah.

Panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan bersetuju dengan usul yang dikemukakan oleh Haniff Khatri Abdulla, peguam bagi pihak MAIS dan PPMS untuk menangguhkan kes tersebut terlebih dahulu sementara menunggu keputusan kes lain di Mahkamah Persekutuan.

Keputusan kes di Mahkamah Persekutuan ini akan memberi kesan kepada kes rayuan sedia ada, justeru, YA Datuk Suraya Othman, YA Datuk Azizah Nawawi dan YA Datuk Hashim Hamzah bersetuju untuk menunggu keputusan kes di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu.

Kes rayuan ini adalah berikutan sebuah kes pada tahun 2016 di mana seorang bapa yang telah memeluk agama Islam membawa tiga anaknya dan menukarkan agama anak tersebut daripada Hindu kepada Islam.

Ibu kanak-kanak terbabit membantah pengislaman tersebut dan mengajukan hal ini kepada mahkamah, dimana Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2020 memutuskan bahawa penukaran agama tersebut adalah tidak sah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: