Tempatan

Rayuan Komital Terhadap Tommy Thomas Ditarik Balik Oleh Bapa Arwah Muhammad Adib Mohd Kassim – Aidil Khalid

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2022- “Seperti yang telah dilaporkan secara meluas sebelum ini, pada 29 November 2021 keluarga Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim, telahpun menerima pampasan berjumlah RM1.5 juta daripada Kerajaan,” ujar peguam, Aidil Khalid.

Menurutnya, pampasan tersebut adalah sebagai bantuan prihatin daripada Kerajaan atas musibah yang menimpa ahli keluarga arwah, anggota bomba yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018 dan kemudian menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember 2018.

Ujarnya, keluarga allahyarham telah mengarahkan peguam cara mereka untuk menarik balik rayuan yang masih berlangsung di Mahkamah Rayuan, berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina Mahkamah, kerana pihak keluarga tidak lagi mahu memanjangkan perkara ini.

Aidil berkata, terdapat tiga rayuan di Mahkamah Rayuan. Pertama, rayuan oleh Jabatan Peguam Negara bagi menegaskan bahawa Hakim Koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas, atas kesalahan menghina mahkamah; manakala dua lagi rayuan adalah oleh bapa arwah Mohd Adib bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

Beliau berkata, rayuan oleh Jabatan Peguam Negara tersebut sebelum ini telah didengar oleh Panel Mahkamah Rayuan, yang kemudiannya pada 8 Februari 2022 memutuskan untuk menolak rayuan tersebut, sekaligus mengesahkan bahawa Hakim Koroner sememangnya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital serta menghukum seseorang atas kesalahan menghina mahkamah.

Jelasnya, susulan keputusan tersebut, Jabatan Peguam Negara seterusnya telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu tingkat tertinggi kehakiman di negara ini.

Manakala, dua lagi rayuan oleh bapa arwah Muhammad Adib telah digantung pendengarannya, sementara menantikan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan oleh Jabatan Peguam Negara tersebut.

Menurut beliau lagi, susulan daripada arahan keluarga arwah Muhammad Adib agar rayuan bapa arwah Adib ditarik balik, pihak peguam cara melalui Tetuan Mohd Zubir Embong telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei 2022.

Ini diikuti kemudiannya dengan pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa Jabatan Peguam Negara turut menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Bercakap mewakili pihak Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates (peguam cara mewakili bapa arwah Muhammad Adib) Aidil Khalid, menjelaskan maka dengan itu, pihak keluarga Allalhyarham Muhammad Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap Tommy Thomas / Jabatan Peguam Negara, selesai dan tamat di sini, serta berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, harus ditegaskan bahwa keputusan penyelesaian di peringkat rayuan penghinaan Mahkamah ini tidak sama sekali mengusik atau mengubah keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner pada 27 September 2019, yang mengesahkan bahawa arwah Adib mati dipukul (walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini), dan bahawa kematian arwah turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan PDRM dan FRU mengawal rusuhan.

Jelas beliau yang merupakan peguam kaunsel yang mengesahkan kenyataan tersebut, alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Hakim Koroner itu tidak pernah diakas oleh mana-mana Mahkamah yang lebih tinggi, dan dengan yang demikian itu, kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif.

Beliau berkata, pendirian keluarga arwah untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti bahawa usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh PDRM, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

Justeru, perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin, jelas Aidil Khalid mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: