Tempatan

Rayuan Kebenaran Kalimah Allah: MAIS Mohon Jadi Pencelah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

SHAH ALAM, 25 Mac 2021 – Menjunjung titah DYMM Sultan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pihak pencelah dalam kes rayuan berhubung kebenaran penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Islam oleh orang bukan Islam.

“MAlS menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk dijadikan sebagai pihak pencelah dalam kes rayuan tersebut,” ujar Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Ujarnya, MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah adalah suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab Mais sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama Islam di Selangor, selepas Sultan Selangor, untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam termasuklah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah itu jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam.”

“Justeru, kalimah berkenaan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama lain selain daripada Islam.”

Menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak kerajaan Malaysia untuk merayu keputusan berkenaan, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menambah, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain.

“Wajib bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah itu.”

“Selain itu, Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam,1988), juga menyatakan mana-mana orang bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan Islam di dalam Selangor adalah suatu kesalahan.”

Katanya lagi, MAIS juga bimbang terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam khususnya di negeri ini.

Sultan Selangor dalam titah baginda menegaskan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah adalah dilarang penggunaannya di Selangor.

Titah baginda, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Bagaimanapun sekiranya perkataan ‘Tuhan’ digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’, baginda tiada halangan atas penggunaan perkataan itu.

Di akhir kenyataan akhbar yang dikeluarkan, baginda juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: