Ratusan Rakyat Palestin Tuntut Pembebasan Tahanan Menghidap Kanser
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RAMALLAH, 12 September 2022 – Ratusan rakyat Palestin di Ramallah membuat bantahan menuntut pembebasan tahanan Palestin, Nasser Abu Hmeid dari penjara rejim haram aparteid Israel kerana disahkan menghidap kanser.
Bantahan tersebut dibuat dua hari selepas Persatuan Tahanan Palestin mendedahkan bahawa Nasser berada dalam keadaan kesihatan yang mengancam nyawa.
Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana bersikap militan semasa intifadah kedua dan dipenjarakan sejak 2002. Keadaan kesihatannya mula merosot pada Ogos 2018 dan beliau disahkan menghidap kanser paru-paru.
Lapor agensi media Arab, keluarga dan kumpulan hak asasi manusia Palestin berkata, walaupun Nasser belum pulih sepenuhnya, beliau telah dipindahkan semula ke penjara sejurus selepas menjalani pembedahan membuang tumor.
Dalam pada itu, rakyat Palestin yang menyertai bantahan tersebut memegang gambar Nasser sambil melaungkan slogan menuntut pembebasan beliau serta mendesak rejim haram aparteid Israel membebaskan semua tahanan Palestin yang sakit.
Ibu Nasser yang turut hadir membantah berkata, “Saya mahu anak saya kembali bersama saya, untuk memeluknya sekurang-kurangnya buat kali terakhir sebelum dia meninggal dunia.”
“Saya menyeru semua pakatan, parti, institusi antarabangsa, pertubuhan hak asasi manusia dan kerajaan Palestin untuk bertindak membebaskan anak saya sebelum dia meninggal dunia,” tambahnya.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, tahanan-tahanan Palestin di penjara rejim haram aparteid Israel telah menderita penyakit kronik, termasuk 22 daripadanya penyakit berkaitan kanser atau tumor.
Kebelakangan ini, rejim haram aparteid Israel telah dituduh atas kecuaian perubatan terhadap tahanan Palestin yang sakit, termasuk menangguhkan rawatan serta kekerapan menggunakan ubat tahan sakit.