NGO

RASUAH, SALAH GUNA KUASA DAN BERIMAN DENGAN PETI UNDI – Haji Rashidi bin Haris

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Dalam pemerhatian NGOi selama berinteraksi sekian lama dengan pihak berkuasa, tidak kira sama ada dari kerajaan BN atau PH dan kini PN, terdapat tiga penyakit besar yang warga marhaen berasa gusar terutamanya perkara yang membuatkan rasa amat tidak puas hati terhadap pemerintah:

(1) amalan rasuah yang berleluasa,
(2) salah guna kuasa oleh pihak berkuasa Menteri @ pegawai kerajaan dan
(3) pimpinan kerajaan yang terlalu ambil kira kuasa politik seolah-olah “beriman” dengan peti undi.

2. Deklarasi terbuka Ketua Polis Negara (KPN) tentang kewujudan kartel dari anggota biasa hingga kepada pegawai tinggi PDRM telah merosakkan banyak operasi PDRM terutama kes high profile dan ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan isu keselamatan negara dan mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia.

3. Masalah yang sudah membusuk sehingga ke usus sejak berpuluh tahun dari zaman BN, dilihat seperti diteruskan juga di zaman PH ini, dan kegagalan diatasi di zaman PN ini WAJIB diselesaikan dengan seberapa segera tanpa lengah, jika tidak imej pasukan keselamatan PDRM dan negara akan tercemar.

4. Lambakan kes-kes tertangguh seperti kes pembunuhan terhadap arwah Adib, kes Macau Scam, kes DS Nicky dan terbaru kes seorang Dato’ memukul 2 pengawal peribadi atau bodyguard Muslim yang berpuasa adalah antara sederet kes-kes berprofil tinggi yang gagal diselesaikan oleh kerajaan, dan rakyat sedang memerhati dalam keadaan marah dan berasa hampa.

5. Semua kes di atas terkait dengan tiga elemen yang kita sebutkan tadi, dan ia hanya boleh diselesaikan dengan iltizam tinggi pegawai kerajaan (KSU dan Ketua Jabatan) dan political will Perdana Menteri (PM) dan bala menterinya. Once and for all , terutama ketika umat Islam sedang menjalani madrasah Ramadan kini, laksanakanlah demi menyelamatkan rakyat dan negara.

6. Ditambah dengan angka COVID-19 yang meningkat setiap kali mencanak, dan hanya dikaitkan dengan “kluster berkaitan umat Islam”, keadaan ini amat mengecewakan warga Islam yang merupakan penduduk asal tanah air sejak beribu tahun dahulu – kenapa hari ini begitu mudah dikambinghitamkan – hanya untuk tujuan politik peti undi? Apakah politikus sudah tidak takut lagi dengan azab Allah SWT?

7. Kenapa ada pertimbangan berlainan hukuman, bagi kes yang sama terhadap dua golongan yang berbeza? Janganlah menindas dan berlaku zalim terhadap rakyat marhaen dan melindungi kartel atau jutawan atau individu berpengaruh sehingga gagal untuk berlaku adil untuk semua. Mana Rule of Law yang kuat dikumandangkan, akibatnya rakyat melihat sama sahaja mana-mana kerajaan yang memerintah.

8. Dan isunya masih terangkum dalam 3 elemen tadi, iaitu rasuah yang dahsyat, salah guna kuasa, dan beriman dengan peti undi oleh pihak yang berkuasa dan berkepentingan. Seolah-olah tiga elemen ini tidak boleh dipisahkan daripada politikus.

9. Sikap selective persecution ini akan membarah dan menjahanamkan segala sistem yang negara wujudkan. Buatlah apa “penambahbaikan” sekali pun, tidak akan ada perubahan jika tiga elemen itu tidak diselesaikan dengan komitmen yang bersungguh-sungguh, sehingga Kiamat pun takkan selesai. Sudah tiba masanya kerajaan perlu fokus ke akar umbi, tingkatkan iltizam dan kesedaran baru – enough is enough untuk sekian kalinya – baru boleh atasi tiga barah berkenaan.

10. Dan ini memerlukan sifat syaja’ah (berani) yang kuat jika sampai kepada satu tahap terpaksa buat rombakan Kabinet, maka lakukanlah. Jika terpaksa rombak Ketua-Ketua Jabatan, inilah masanya! Malah, jika tiada kawalan lagi kecuali adakan PRU-15 segera, maka bubarkanlah Parlimen supaya rakyat dan kerajaan mendapatkan mandat baru, ayuh segerakanlah!

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Aktivis MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button