Tempatan

Rasuah Mesti Dibendung Sebelum Ia Jadi Pandemik

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 September 2022 – Kes rasuah perlu dibendung sebelum ia menjadi wabak yang kini telah menyusup hampir ke setiap lapisan masyarakat.

Kata Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang telah mensabitkan Rosmah Mansor dengan pertuduhan rasuah semalam, sekiranya rasuah tidak dikekang, ia akan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat sama ada dalam perniagaan mahupun kehidupan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun berserta denda RM 970 juta ke atas Datin Seri Rosmah Mansor yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Hukuman harus menggambarkan rasa tidak senang atau jijik terhadap jenayah itu. Hukuman juga mestilah mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Ia juga hendaklah menjadi faktor pencegah kepada tertuduh dan orang lain daripada melakukan jenayah seperti ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang diperuntuk di bawah Seksyen 24(1) akta sama menyatakan bahawa mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16,17,20,21,22 dan 23 hendaklah apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Justeru katanya, hukuman yang termaktub di bawah seksyen itu adalah berat dan menandakan keseriusan kesalahan rasuah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: