Tempatan

Rasisma Di US Dan Malaysia – Lukman Sheriff

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AHAD, 05 Jun 2022 – Peguam, Lukman Sheriff dalam satu kenyataan di Facebook membuat perbandingan mengenai rasisma di Amerika Syarikat dengan Malaysia.

“Sebelum menyentuh isu di Malaysia baik kita ada perbandingan untuk mendapat perspektif luas.”

Beliau memetik pendapat bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo yang mengaku betapa teruknya rasisma di Amerika Syarikat terutamanya terhadap kaum minoriti “African American (AA)”.

Menurut Lukman Sheriff, “Masyarakat African American memang dari dahulu lagi ditindas. Asalnya mereka bermula dari hamba abdi tetapi sekarang gerakan “civil rights” telah berjaya memberikan mereka banyak kebebasan. Jadi Amerika Syarikat selalu bangga perkembangan ini dan menyuruh negara lain mengikuti mereka.”

Tetapi melalui kes George Floyd terserlah betapa dalamnya diskriminasi di Amerika Syarikat. Masyarakat African American berada dalam kerisauan setiap hari takut anak-anak mereka tidak pulang. Mereka bukan takut dengan penjenayah sahaja malah kerajaan, polis dan penguatkuasa yang sepatutnya melindungi mereka. Mereka takut anak mereka dipenjara atau lebih teruk dibunuh semata-mata sebab kulit, ujar Lukman Sheriff lagi.

Menjelaskan lagi, beliau berkata, terdapat banyak insiden polis menyalahguna kuasa ke atas masyarakat African American di mana sebahagiannya seperti kes George Floyd berakhir dengan kematian. Dan mereka merasa selalu tidak mendapat keadilan untuk kes sebegini kerana banyak kes tidak didakwa atau dilepaskan.

Seperti kes George Floyd, walaupun terang bukti videonya tetapi polis yang membunuh George Floyd pada asalnya tidak didakwa membunuh. Dia hanya dibuang kerja dan setelah videonya tular, barulah didakwa. Namun polis lain yang menyaksikan kejadian tersebut masih belum diheret ke muka pengadilan, tegas Lukman Sheriff.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada rentetan kes-kes rasisma ini, maka wujudnya gerakan “Black Lives Matter”.

Selain itu, Lukman Sheriff merujuk Laporan Senat Amerika Syarikat yang mendedahkan bahawa kehidupan orang kulit hitam jauh berbeza dibandingkan dengan orang kulit putih daripada pelbagai sudut seperti ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan perumahan.

Justeru, beliau menyimpulkan bahawa isu diskriminasi kaum di Amerika Syarikat ini adalah isu yang “sistemik” dan “struktural” serta sukar bagi masyarakat African American untuk mengatasinya.

Ini ditambah dengan “Social mobility” yang amat sukar untuk mereka tepis, jelas Lukman Sheriff lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa pendapatnya akan disambung lagi dengan menyentuh isu di Malaysia pula dalam coretannya akan datang.

Leave a Reply

Back to top button