Ramai Pekerja Swasta Tidak Mendapat Hak Perlindungan Sewajarnya – NUFAM
KUALA LUMPUR, 03 Mei 2023 – “Syarikat swasta juga harus mempunyai representasi kesatuan pekerja di mana ramai antara pekerja ini tidak mendapat hak perlindungan yang diuar-uarkan oleh kerajaan,” tegas Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Mohd Akram Osman.
Ujarnya, masih ramai pekerja syarikat swasta tidak mendapat kenaikan gaji sehingga mencecah bertahun lamanya sedangkan pekerja sektor ini adalah antara yang paling banyak berkhidmat kepada orang ramai dan juga membantu dalam aspek pembangunan ekonomi negara.
Jelasnya lagi, isu kenaikan gaji dan hak perlindungan pekerja sektor swasta harus diberi perhatian terutamanya mereka yang tidak mendapat keistimewaan seperti penjawat awam.
BACA JUGA: Jalan Sekitar Teluk Intan Ditutup Sempena Upacara Agama Hindu
BACA JUGA: Agensi Perkhidmatan Rahsia AS Larang Datuk Bandar Muslim Hadiri Jamuan Eid Rumah Putih
BACA JUGA: YDPA, Raja Permaisuri Agong Adakan Lawatan Khas Di London
Menerusi sebuah kenyataan, beliau juga menyatakan, “Kerajaan harus memperbaiki beberapa dasar dalam akta kerja dan akta hak perlindungan sosial agar pekerja swasta ini mendapat keadilan dan hak saksama.”
Dalam pada itu, Mohd Akram berkata, ribuan pekerja swasta terjejas dan telah diberhentikan kerja asbab pandemik COVID-19 dan masih ramai antara mereka yang belum menerima jawatan atau pendapatan tetap seperti dahulu.
Bukan itu sahaja, menurutnya, kebanyakan pekerja memberitahu, mereka hanya menerima pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan walhal hutang semakin bertambah.
Beliau turut menggesa pelaksanaan polisi baharu agar hak perlindungan dapat diberikan kepada mereka yang telah hilang punca pendapatan.
“Umpama isu hutang bank, pihak bank tidak boleh menuntut hutang dari pekerja yang telah hilang pekerjaan sehingga mereka mendapat kerja atau gaji tetap.”
“Isu ini harus diperhalusi semula oleh pihak Kerajaan,” jelas Mohd Akram.
Lanjutan itu, beliau menambah, tidak guna jika Kerajaan hanya menumpukan kepada kenaikan gaji sedangkan isu sebenar seperti hak dan perlindungan pekerja menjadi masalah besar pada masa depan.